PAS JANJIKAN JENTERA PARTI MAKSIMUM UNTUK MAT HASAN

Belum pun habis PRK Semenyih, malam tadi PAS memberi jaminan untuk mengerahkan sepenuhnya jentera yang ada pada parti itu bagi memenangkan calon BN di Rantau, Mohamad Hasan, tidak lama lagi.

Jaminan itu diberikan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucapan di Ceramah Perdana Umno-PAS di Bandar Sri Putra yang terletak dalam pusat daerah mengundi (PDM) Bukit Mahkota.

“PAS mendukung penuh seluruh gerak kerja BN di Rantau selepas ini, insya-Allah, dan ini komitmen parti kepada timbalan preiden Umno yang insya-Allah akan kekal sebagai calon (di Rantau).

“PAS akan menurunkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan Mohamad Hasan,” umumnya disambut tepukan kira-kira 1,000 hadirin.

Pengumuman itu dilihat sebagai penegasan PAS – buat ke sekian kalinya – terhadap kerjasama mereka dengan Umno yang dikhabarkan semakin kukuh.

Sebelum ini, timbul spekulasi terhadap kerjasama di antara kedua-dua parti terbabit ekoran dakwaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS tidak akan membantu Umno dalam PRK Semenyih.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri selepas bertemu Mahathir berkata keadaan di Semenyih berbeza daripada situasi dihadapi parti itu di Cameron Highlands.

Bagaimanapun PAS menafikan dakwaan tersebut. Tidak cukup dengan itu Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata, “perbezaan” disebut Abdul Hadi itu bermakna partinya akan bekerja lebih keras untuk BN di Semenyih.

Mohamad ialah pemangku presiden Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan. Beliau dijangka akan bertanding di kerusi DUN Rantau bagi mewakili pembangkang dalam PRK yang belum diputuskan tarikhnya itu.

Mohamad hilang kerusi berkenaan selepas gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang sebelum itu membatalkan kemenangan tanpa bertanding beliau.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menolak rayuan Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas alasan rayuan yang dibuat tidak mempunyai merit.

Sementara itu menyentuh isu lain, Tuan Ibrahim berkata, sesuatu kaum majoriti di mana-mana negara adalah pihak yang sepatutnya dilantik menjadi pemerintah.

Anggota parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika mengulas tentang isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh beberapa individu baru-baru ini.

Pelantikan pemimpin daripada kaum majoriti, katanya, bukanlah sesuatu yang rasis, sebaliknya bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad tentang arahan untuk melantik kaum Quraisy menjadi pemimpn di Mekah.

“Ibnu Khaldun dan ulama-ulama menjelaskan maksud daripada (hadis) nabi ini bukan maksud yang literal.

“Maksud di sebaliknya – lantik pemimpin yang majoriti bagi sebuah negara menjadi ketua mereka. Itu maksudnya,” katanya lagi.

mkini

.