SEMALAM PAS MASIH NAFI BAYAR, HARI INI SARAWAK REPORT DEDAH SEMUA

SEHINGGA malam tadi, PAS menafikan mereka membayar Sarawak Report untuk menyelesaikan kes saman fitnah difailkan Presiden Abdul Hadi Awang di London.

Tetapi, pagi ini, Sarawak Report membuat pengumuman mengejutkan yang portal itu sememangnya dibayar parti Islam itu untuk memastikan penyelesaian luar mahkamah dapat dilakukan.

Malam tadi, dalam ceramah di Semenyih, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata wang yang akan digunakan Hadi untuk meneruskan saman fitnah itu lebih baik digunakan untuk membantu orang tidak berkemampuan.

“Kita boleh teruskan saman kita tetapi ia menelan kos empat hingga lima juta, wang itu boleh diberikan kepada tahfiz atau membantu orang miskin. Malah kalau kita menang pun, ganti rugi yang perlu dibayar kepada kita tidaklah banyak mana,” katanya ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Semenyih malam tadi.

Tuan Ibrahim sekali lagi mengulangi kenyataan pemimpin tertinggi lain, yang tiada wang bertukar tangan daripada PAS kepada Sarawak Report dan sebaliknya, selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah yang patutnya didengar di mahkamah England.

Tuan Ibrahim turut mengecam Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berulang kali menuduh PAS membayar RM1.42 juta kepada Sarawak Report.

Hadi menyaman Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown kerana sebuah artikel bertajuk “As Najib denies all over 1MDB, let’s not forget his many other criminal connections” diterbitkan pada 6 Ogos 2016, mendakwa wang berjumlah RM90 juta dibayar Umno kepada PAS adalah daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi, pada 1 Februari lepas, Hadi membuat tawaran penyelesaian luar mahkamah terhadap Sarawak Report, menggambarkan kedua-dua pihak tidak membuat atau menerima bayaran.

Penyelesaian luar mahkamah itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini menyiasat pemimpin PASberkenaan dakwaan menerima wang 1MDB.

the malaysian insight

.