SUBSIDI JEMAAH HAJI KEKAL, KATA TH

SUBSIDI untuk semua jemaah haji kekal, termasuk mereka yang membuat rayuan mahu menunaikan ibadah haji pada musim ini, kata Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam satu kenyataan dua perenggan, TH memaklumkan subsidi itu kekal selepas ia mengambil kira segala aspek termasuk jangkaan kedudukan kewangan agensi itu bagi tahun ini.

“Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat keputusan bahawa TH akan kekal menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH bagi tahun 2019,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Isu itu tular sehari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof mengumumkan kos menunaikan haji bagi tahun ini kekal pada RM9,980 walaupun kos sebenar meningkat lagi kepada RM22,900, dengan baki RM12,920 akan ditanggung oleh TH sebagai subsidi untuk setiap jemaah haji.

Katanya, TH akan berusaha menanggung subsidi yang dianggarkan lebih RM306 juta untuk tahun ini.

Isu yang tular itu kemudiannya menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam dan dijadikan isu politik oleh pembangkang.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut menggesa Mujahid dan TH menimbang semula dasar baharu subsidi itu.

Mujahid dalam penjelasannya pada minggu yang sama berkata perkara itu belum muktamad dan sedang dibincangkan dengan TH.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, Mujahid juga berkata subsidi kepada jemaah haji selama ini adalah usaha TH meringankan beban pencarumnya menampung kos menunaikan rukun Islam kelima itu.

TH memberikan subsidi kepada jemaah haji sejak 2001, yang disifatkan oleh agensi itu sebagai “tanggungjawab sosial korporat” yang terbesar, sehingga membolehkan kos menunaikan haji kekal bagi setiap seorang jemaah walaupun kos sebenar meningkat setiap tahun.

Jumlah subsidi yang diberikan pada 2013 sebanyak RM5,575 melibatkan jumlah keseluruhan RM93 juta meningkat kepada RM12,470 pada 2018 yang keseluruhannya berjumlah RM400 juta.

the malaysian insight

.