MCA BOLEH KELUAR TAPI BN TAKKAN BUBAR, KATA NAZRI

Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz mengalu-alukan rancangan MCA untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata parti komponen etnik Cina itu boleh bertindak demikian dengan sendiri tanpa perlu meminta agar bekas gabungan parti pemerintah itu dibubarkan.

Nazri berkata, beliau tidak faham resolusi MCA, yang dibuat pada perhimpunan agung tahunannya Disember lalu, untuk bubarkan BN kerana perkara itu adalah hal akademik yang memerlukan persetujuan Umno.

“Mereka boleh keluar. Buat seperti apa yang Gerakan lakukan, apa yang PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), apa yang parti komponen di Sabah semua lakukan.

Beliau berkata, Umno tidak bersetuju dengan permintaan MCA dan perkara itu tidak dibangkitkan pada Majlis Tertinggi BN.

“Ia sebenarnya akademik, kamu tahu, soal tentang pembubaran, kerana jika Umno tidak setuju, permintaan MCA tidak dapat dilaksana. Itu saja,” kata Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas.

Beliau berkata Majlis Tertinggi BN tidak mengadakan pertemuan setakat ini kerana sibuk dengan kempen untuk pilihan raya kecil Cameron Highlands pada Januari dan kini pilihan raya kecil Semenyih Sabtu ini. Satu lagi pilihan aya dijangka diadakan di Rantau, Negeri Sembilan dalam dua bulan lagi.

“Saya tidak terima sebarang arahan daripada pengerusi untuk adalah mesyuarat BN, dan tanpa mesyuarat, kita tidak boleh bincangkan perkara ini,” tambah Nazri.

MCA pada perhimpunan agungnya 2 Disember lalu meluluskan resolusi pembubaran BN dan untuk penubuhan gabungan baharu. Presidennya Dr Wee Ka Siong menghantar surat kepada sekretariat BN untuk meminta mesyuarat diadakan bagi MCA menghantar resolusi itu.

Mesyuarat berkenaan masih belum diadakan, sebaik sahaja perhimpunan agung MCA, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercuti dan menyerahkan tugasnya kepada timbalan presidennya Mohamad Hasan.

Mesyuarat majlis tertinggi BN dijadualkan pada 7 Januari ditunda, dan parti sibuk dengan pilihan raya Cameron Highlands yang diadakan pada 26 Januari.

BN kini hanya tinggal 3 parti – Umno, MIC dan MCA – rakan kongsi asal gabungan pra-Kemerdekaan.

Ia menyertai Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu dengan 13 komponen, tetapi kerugian gabungan itu dalam pemilihan dan perubahan kerajaan persekutuan menyaksikan ahli keluar, bermula dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak, dan kemudian Gerakan yang berpangkalan di Semenanjung, pada Jun tahun lepas.

the malaysian insight

.