RATUSAN DEMO DEPAN BALAI POLIS DESAK PENGHINA NABI DIDAKWA SEGERA

IPOH — Ratusan orang Islam berhimpun di depan ibu pejabat polis daerah Ipoh bagi mendesak pendakwaan disegerakan terhadap warga emas yang menghina Nabi Muhammad.

Kumpulan itu memenuhi Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di depan balai tersebut dan terpaksa ditutup sejauh 200 meter selama sejam malam tadi, lapor Utusan Online. 

Ada juga peserta yang cuba mencetuskan provokasi namun ketua polis daerah ACP Mohd Ali Tamby berjaya mententeramkan suasana sebelum beberapa wakil membuat aduan polis.

“Jadi manusia kurang ajar sepatutnya diajar …,” kata Amiruddin Mohd Daud, yang mendesak kerajaan memandang serius kes tersebut. “Jangan lagi sama sekali bermain wayang.”

Mendakwa wujud pilih kasih apabila “orang Islam ditahan dengan tempoh yang lama”, beliau memberi amaran perhimpunan itu akan lebih besar dan “mungkin banyak kerosakan”.

Rabu lalu, seorang pengguna Facebook ditahan kerana menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda melalui karikatur tetapi dibebaskan selepas tiga hari disiasat.

.