SKANDAL TANAH TENTERA, TIADA KEPERLUAN LAPOR POLIS, KATA MENTERI

TIADA keperluan untuk membuat laporan polis setakat ini berhubung kes ketirisan hasil kerajaan yang dianggarkan melebihi RM500 juta sepanjang pelaksanaan projek “land swap” kementerian ini, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata kes berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Ya, kementerian saya telah membuat laporan kes itu pada minggu lepas dan terserah kepada kebijaksanaan SPRM untuk mengendali dan menyiasat kes ini.

“Oleh yang demikian, kes berkenaan tidak ada kaitan dengan polis setakat ini dan biar SPRM siasat terlebih dahulu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu.

Pada Khamis lepas, satu laporan dibuat SPRM berkenaan isu “land swap” atau pertukaran tanah milik kementerian berkenaan membabitkan projek pembinaan Kem Paloh, Johor dan Kem Hutan Melintang, Perak.

Laporan itu dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pertahanan Mohd Nasaie Ismail di ibu pejabat SPRM Putrajaya, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan, yang diketuai  Ambrin Buang, terhadap 16 isu “land swap” membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Nasaie yang membuat laporan itu berkata kedua-dua projek itu dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tanah tapak Kem Kinrara di Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan.

Pada 19 Februari lepas, Mohamad dalam kenyataan berkata pihaknya telah menerima laporan akhir siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang ke atas beberapa projek kementerian termasuk ‘land swap’.

Laporan siasatan itu juga dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 13 Feb lepas.

Menurutnya, hasil siasatan jawatankuasa itu yang telah dibentangkan pada 28 Januari lepas mendapati terdapat 16 projek “land swap” melibatkan 1,286 hektar (2,923 ekar) tanah milik Kementerian Pertahanan  bernilai RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek RM4.886 bilion.

Terdahulu, Mohamad menyampaikan sijil kepada 459 penerima APC dan pingat PPT yang terdiri daripada penjawat awam di Wisma Pertahanan dan unit-unit tentera, warga ATM serta pesara awam terpilih manakala selebihnya dilaksanakan bahagian dan jabatan masing-masing.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Halimi Abd Manaf dan Panglima ATM Zulkifli Zainal Abidin.

– Bernama,

.