PAKATAN PERLU GELOMBANG BESAR REDAKAN TIDAK PUAS HATI RAKYAT

PENGUMUMAN kerajaan mengenai kadar tol dan pelbagai bantuan lain, bertujuan meringankan bebas kos sara hidup, tidak dapat menghentikan gelombang rasa tidak puas hati rakyat kepada Pakatan Harapan (PH), kata pemimpin kanan Umno.

Bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim berkata gelombang tidak puas hati rakyat yang PH hadapi sekarang berpunca daripada janji pilihan raya umum lalu yang belum kerajaan tunaikan, selain isu agama dan kaum.

“Dalam keadaan gelombang rakyat yang besar sekarang ini, kerajaan buat apa pun tidak akan menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Kalau hendak selesai, tidak boleh selesaikan dengan hanya beri tol percuma, sekejap beri RM100 untuk pelajar kerana gelombang sedang berlaku.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan cadangan mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang bagi menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada yang diganti dengan caj kesesakan untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesan) dan Terowong Smart.

Bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim berkata dalam keadaan sekarang, gelombang rakyat tidak boleh diselesaikan dengan hanya beri tol percuma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2019.
Bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim berkata dalam keadaan sekarang, gelombang rakyat tidak boleh diselesaikan dengan hanya beri tol percuma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2019.

Pengguna empat lebuh raya itu juga bebas tol antara 11 malam hingga 5 pagi, manakala bagi waktu lain, pengguna diberikan diskaun 30% daripada kadar tol sedia ada.

Minggu lalu juga, kerajaan mengumumkan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) sebanyak RM100 untuk setiap penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) warganegara Malaysia yang akan disalurkan pada hujung Mac ini.

Pengumuman mengenai tol dan bantuan pendidikan itu dibuat ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih sedang berlangsung ketika ini, menjelang pengundian pada 2 Mac ini.

Shahidan menyifatkan kedua-dua pengumuman kecil itu tidak akan melenyapkan gelombang besar rakyat dan kerajaan memerlukan satu gelombang yang lebih besar lagi untuk menghilangkan rasa tidak puas hati rakyat.

“Kalau gelombang bertembung dengan alun (gelombang kecil), maka akan ditelan oleh gelombang yang besar.

“Sekarang ini, gelombang yang berlaku kepada PH ini bukan dibuat oleh Barisan Nasional, gelombang ini ledakan ketidakpuasan hati rakyat,” katanya.

THE MALAYSIAN INSIGHT

.