ADIB GELENG KEPALA DITANYA SAMA ADA DIPUKUL

MUHAMMAD Adib Mohd Kassim “menggeleng kepala” apabila ditanya apakah beliau dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya sehingga menyebabkan cedera dan dimasukkan ke hospital, kata seorang pakar bedah yang merawat anggota bomba itu.

Pakar bedah kardiotorasik di Institut Jantung Negara (IJN) Dr Mohamad Ezani Taib berkata Adib ditanya soalan itu dua kali ketika beliau sedar semasa dirawat di pusat jantung itu, termasuk sekali oleh seorang pegawai penyiasat.

Dua kali itu juga Adib “menggeleng kepala”, kata doktor.

“Soalan itu ditanya dua kali, sekali ketika saya bersamanya sendirian dan sekali lagi semasa bersama seorang pegawai penyiasat polis,” kata Ezani, dalam keterangannya kepada inkues menentukan kematian Adib hari ini.

“Pegawai itu bertanya Adib, di depan saya, apakah beliau dipukul tetapi Adib yang sedar tidak dapat bercakap dan hanya geleng kepala.

“Pada satu masa yang lain, saya bertanya sendiri kepadaya dan beliau memberikan respons sama, yang saya anggap sebagai ‘tidak’,” katanya.

“Saya berhenti di situ dan tidak tanya soalan lanjut.”

THE MALAYSIAN INSIGHT

.