MENYOKONG TUN MAHATHIR, ADAKAH BERERTI PAS MENERIMA DAP ATAU INI SATU LAGI PEMBOHONGAN?

Barangkali Pas adalah satu-satunya parti politik yang pelik, celaru dan memeningkan kepala yang masih wujud di dunia ini.

Sementara semua perjuangan parti politik adalah berasaskan kebenaran, Pas sebaliknya menjadi pelik, celaru dan memeningkan kepala kerana ia kini membenarkan pembohongan, walaupun Islam adalah perjuangannya.

Ada pemimpinnya berkata, dia berbohong setelah mendapat kebenaran dan izin daripada Tuan Presidennya.

Kemudiannya daripada itu, demi menghalalkan pembohongan yang sudah dilakukan itu, tergamak pula pemimpin tertentu Pas mengatakan Nabi Ibrahim AS pun pernah berbohong sama.

Bertepatan dengan sifat para Nabi yang antaranya ialah benar, tindakan Nabi Ibrahim dalam peristiwa yang disebutkan itu sebenarnya ialah suatu tindakan berdalih untuk menyelamatkan nyawa.

Soalnya, apakah Pas berbohong dan dibenarkan melakukan pembohongan itu untuk menyelamatkan nyawa atau hanya kerana ingin menyelamatkan harga diri yang telah terjual disebabkan dakwaan menerima dedak daripada UMNO?

Jika hanya kerana adanya dakwaan menerima wang telah membuatkan Pas sanggup berbohong, maka di manakah kata-kata pemimpin parti itu yang masih boleh dipercayai?

Terbaru, berdepan dengan siasatan SPRM berhubung dakwaan pernah menerima wang daripada UMNO, Pas tiba-tiba tampil menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Sokongan itu tidak saja jika kononnya ada usul undi tidak percaya di Parlimen, tetapi juga mahukan Tun Mahathir terus mengetuai pentadbiran negara sehingga tarikh PRU15 akan datang.

Ini satu lagi sikap pelik, celaru dan memeningkan kepala yang ada pada Pas.

Menyokong kepimpinan Tun Mahathir bukan saja suatu kepelikan berdasarkan kedudukan Pas yang sedang bekerjasama dengan UMNO, tetapi juga kerana Perdana Menteri sendiri pernah mengaku tentang peranan DAP dalam pentadbiran kerajaan PH ini.

Kata Tun Mahathir, DAP mempunyai peranan penting dalam kerajaan, termasuk dalam menentukan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Pertama, bagaimanakah Pas boleh terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRK Semenyih untuk menentang calon Bersatu, sedangkan dalam waktu yang sama parti itu menyokong kepimpinan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15?

Bukankah jika setelah menyokong kepimpinan Tun Mahathir, Pas sepatutnya menarik diri daripada terus bekerjasama dengan UMNO?

Kedua, bagaimana Pas boleh menzahirkan sokongan kepada Tun Mahathir sedangkan Perdana Menteri sendiri mengakui pentadbiran kerajaan pimpinannya adalah dibayangi oleh DAP yang merupakan musuh utama parti Islam itu?

Adakah ini bermakna Pas sudah boleh menerima DAP?

Atau demi menyelamatkan kedudukannya yang sedang disiasat SPRM, bermakna Pas sanggup melakukan apa saja?

Tetapi, oleh kerana berbohong adalah dibenarkan dalam Pas, siapakah – antara UMNO dan Tun Mahathir – yang merupakan mangsa pembohongan Pas seterusnya?

-http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.