SOKONG DR MAHATHIR SAMBIL LAWAN PAKATAN TAK BERCANGGAH, KATA AKAR UMBI PAS

AHLI PAS tidak melihat sebarang percanggahan walau parti itu menyokong Dr Mahathir Mohamad dan pada masa sama bekerjasama dengan Umno untuk menggulingkan Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin kanan PAS pada Isnin lalu mendedahkan ia mahu menyokong Dr Mahathir dan dalam masa sama bekerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Ikrar PAS terhadap Dr Mahathir dibuat dalam pertemuan antara perdana menteri, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanan parti lain pada minggu lalu.

Mereka mendakwa berikrar untuk menyokong Dr Mahathir kerana mendakwa dapat mencium rancangan parti komponen PH untuk menggulingkan perdana menteri itu di Parlimen melalui undi tidak percaya pada Mac ini.

Hamidi Husin, seorang aktivis PAS Selangor memberitahu The Malaysian Insight, perkara ini tidak bercanggah.

“Sokongan kepada Dr Mahathir hanya kekal sebagai perdana menteri. Kita masih bekerjasama dengan Umno. Ada dua perkara berbeza di sini. Ini semua kita perlu jelas,” katanya.

Pemimpin kanan PAS berkata ia mahu menyokong Dr Mahathir Mohamad dan pada masa sama bekerjasama dengan Umno dalam PRK Semenyih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2019.
Pemimpin kanan PAS berkata ia mahu menyokong Dr Mahathir Mohamad dan pada masa sama bekerjasama dengan Umno dalam PRK Semenyih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2019.

Seorang lagi aktivis PAS Selangor, Shahidan Mustafa juga menyebut, kerjasama dengan Umno itu masih berjalan.

“Kami masih bekerjasama dengan Umno, berkempen untuk Umno dan mahu calon Umno menang.

“Sokongan terhadap Dr Mahathir itu sebab kita PAS tidak mahu perdana menteri bertukar. Itu saja,” katanya.

Bagaimanapun, seteru parti itu dalam PH, terutama Amanah melihat sikap PAS yang mahu menyokong Dr Mahathir dan menentang parti kerajaan sebagai satu tindakan terdesak.

Ini memandangkan pemimpin parti tersebut kini disiasat berhubung penyaluran wang dari Umno yang didakwa berlaku sejurus sebelum pilihan raya umum Mei lalu.

Pemimpin PH berkata parti Islam itu cuba mengalih perhatian daripada siasatan ke atas dakwaan menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui Umno.

Aktivis Amanah juga percaya dakwaan PAS berhubung cubaan menggulingkan Dr Mahathir itu tidak benar kerana Amanah tiada sebab untuk tidak berpuas hati dengan kepemimpinan perdana menteri.

Parti kecil, memang besar

Dalam Kabinet Dr Mahathir, Amanah mendapat 10 jawatan menteri dan timbalan menteri, sedangkan parti itu hanya menang 11 kerusi Parlimen dalam PRU14, paling rendah berbanding parti lain dalam PH.

Aktivis Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Nik Abdul Razak Nik Mohd Ridzuan berkata agihan 10 jawatan itu juga paling besar berbanding jumlah jawatan Kabinet diterima parti lain.

“Buat apa kita nak khianat Dr Mahathir? Dia bagi kita lima menteri dan lima timbalan menteri walaupun kita parti yang paling kecil.

“Ini semua nak alihkan perhatian daripada masalah PAS sendiri,” kata Nik Abdul Razak.

Amanah berkata parti itu tidak akan mengkhianati Dr Mahathir Mohamad dan itu hanya tuduhan PAS yang berusaha menyerang dan memecahbelahkan partinya. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Februari, 2019.
Amanah berkata parti itu tidak akan mengkhianati Dr Mahathir Mohamad dan itu hanya tuduhan PAS yang berusaha menyerang dan memecahbelahkan partinya. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Februari, 2019.

Amiruddin Abdul Jalil dari Amanah Melaka pula berpendapat, PAS sememangnya berusaha menyerang dan memecahbelahkan partinya.

“PAS memang dendam kesumat dengan Amanah. Dia nak buat apa saja supaya Amanah tak bersama PH sampai dia sanggup membelakangkan prinsip Islam,” katanya.

Amanah dibentuk oleh pemimpin progresif dalam PAS yang progresif yang disingkirkan dari parti itu pada 2015.

Kebanyakan tokoh popular PAS ini seterusnya membentuk Amanah yang kemudiannya bergabung dengan DAP dan PKR untuk mewujudkan PH pada 2016.

Sejak sebelum PRU14, PAS melancarkan serangan sengit ke atas Amanah, malah meramalkan parti itu akan terkubur selepas kalah dalam pilihan raya.

Pemimpin PAS kini kesal kerana parti yang baru berusia tiga tahun itu boleh menang pilihan raya sedangkan parti berusia 60 tahun itu masih menjadi pembangkang.

Dalam kempen PAS, aktivis Amanah seperti dirinya sering dilabelkan sebagai kafir dan dihina, kata Amiruddin.

“Sekarang mereka berjumpa Dr Mahathir untuk menjadikan Amanah dan DAP cemburu untuk memecahbelahkan kami,” katanya.

THE MALAYSIAN INSIGHT

.