PRK SEMENYIH BUKTI DEMOKRASI SEMAKIN SUBUR?

Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ialah PRK ke-6 selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Sebelum ini telah berlangsung PRK di DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan Parlimen Cameron Highlands.

Penganalisis politik terdahulu selalu menyatakan siri PRK selepas PRU merupakan ujian litmus bagi parti pemerintah dan kepemimpinannya, sama ada mereka baru memperbaharui mandat ataupun mendapat mandat baru.

Ini kerana, mereka melihat keputusan PRK sebagai indikator populariti, pengukur sokongan rakyat atau “approval rate” terhadap sesebuah kerajaan. Keputusan siri PRK itu kemudiannya digunakan untuk menujumi keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan PRU mendatang.

Begitulah, keinginan menjadi peramal masa depan yang menyebabkan mereka terlalu taksub kepada keputusan pilihan raya sehingga terlepas pandang perjalanannya.

Justeru, tanpa menafikan keputusan pilihan raya sebagai maklumat politik yang sangat penting dalam politik Malaysia, trend terkini memfokuskan perjalanan pilihan raya. Ini kerana, tempoh berkempen semasa PRK cukup kaya dengan maklumat yang boleh digunakan untuk menilai sikap setiap parti bertanding terhadap demokrasi.

Namun, dalam konteks sekarang, perkara tersebut lebih relevan kepada parti pemerintah, yakni Pakatan Harapan (PH) kerana mereka yang sedang berkuasa.

Sebagai kerajaan, PH mempunyai peluang cukup besar untuk memanipulasi sistem pilihan raya sebagaimana kerajaan terdahulu.

Lagipun janji utama PH dalam PRU14 ialah pendemokrasian politik Malaysia dan mereka telah mencanangkannya sejak bekerjasama dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan melalui aktivisme Bersih lagi.

Mereka berazam membebaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada pengaruh kerajaan, menghapuskan amalan “gerrymandering” dan menamatkan manipulasi “3M”, yakni media, wang dan jentera dalam sebarang pilihan raya.

Oleh itu, ujian sebenar untuk PH dalam siri PRK ini ialah cabaran tidak menyalahgunakan kedudukan, tidak mengeksploitasi jentera kerajaan yang terdiri daripada aset dan kakitangannya serta tidak menggunakan dana kerajaan untuk keuntungan politik kepartian mereka.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) telah muncul sebagai pembangkang berkesan, terutamanya ketika PRK. Mereka menggunakan media sosial untuk menegur salah laku yang pernah berlaku menjadi menjadi kerajaan.

Antaranya, menurap jalan raya menjelangnya pilihan raya, menggunakan kenderaan kerajaan ke kawasan pilihan raya, menggunakan kakitangan kerajaan mambantu kempen, pengumuman projek pembangunan dan prasarana baru lengkap dengan upacara pecah tanahnya, pemimpin parti pemerintah berbondong-bondong melawat kawasan pilihan raya atas kapasiti menteri Kabinet dan pemberian wang tunai.

Senarai di atas boleh diletakkan di bahu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana perkara itu adalah norma di era “Mahathir 1.0” dari 1981 hingga 2003.

Disebabkan itu, sarjana politik menggelar demokrasi Malaysia pada era tersebut sebagai “Quasi-democracy” oleh Zakaria Ahmad, “Semi-democracy” oleh William Case, “Neither authoritarian nor democracy” oleh Harold Crouch yang semuanya menyifatkan Malaysia ialah negara separa demokratik.

Demokratik atau tidak pemerintahan PH, substantif atau tidak perubahannya dapat dilihat dengan lebih jelas semasa PRK.

Malah, PRK bukan sahaja boleh memberi petunjuk sama ada PH akan menjadi “kerajaan sementara” yang berwibawa dalam PRU15, bahkan ia menunjukkan jiwa besar mereka jika tewas dalam PRU15 nanti.

Tetapi, pemerhatian terhadap pemerintahan PH sejak PRU14 sehingga PRK Semenyih yang bakal menjelang menunjukkan gabungan itu sedang melaksanakan perubahan cukup substantif.

Kerajaan PH menepati janji mereka dengan tidak mengongkong media sehinggakan RTM kelihatan seperti mensabotaj menteri-menterinya. PH juga tidak cuba menguasai syarikat media swasta.

Pun begitu, sumbangan terbesar kerajaan PH ialah membebaskan semula media sosial dengan usul memansuhkan Akta Anti-berita Tidak Benar. Ekoran itu, Malaysia Baru bukan hanya menyaksikan kewartawanan rakyat terus subur, tetapi kewartawanan penjawat awam pula yang muncul.

Mereka yang setia kepada kerajaan terdahulu menyebarkan pelbagai maklumat berkaitan kerajaan baru yang dipilih rakyat yang merupakan “bossku” sebenar dalam sistem demokrasi.

Dari segi ini, kerajaan PH wajar mendapat kredit kerana media sosial terus berperanan sebagai “the Fifth Estate”, manakala media perdana seperti akhbar, radio dan televisyen akhirnya dapat memainkan peranan sepatutnya sebagai “the Fourth Estate”.

Parti seperti BN dan PAS pula dapat memainkan peranan sangat berkesan sebagai pembangkang. Malah, kita menyaksikan penganalisis politik dan sarjana sains politik begitu bebas berkongsi pendirian yang seringkali bertentangan keputusan kerajaan — kebebasan yang tidak pernah dinikmati selama ini.

Menjelang PRK Semenyih, kerajaan PH menunjukkan komitmen mereka terhadap pendemokrasian apabila melantik Prof Azmi Sharom yang merupakan pensyarah undang-undang sebagai timbalan pengerusi SPR.

Inilah yang membolehkan semak dan imbang, pemisahan kuasa, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia semakin mengukuh dalam politik Malaysia. Cuma seperti kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang perubahan itu tidak begitu dirasai kerana sifatnya yang bukan material.

Semoga pengundi di DUN Semenyih bijak memilih dengan terus memilih pendemokrasian.

Badrul A Bakar ialah pensyarah sains politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara.

free malaysia today

.