ISU USUL TIDAK PERCAYA SENJATA TUN M MAHU BERKUASA LEBIH LAMA?

Perkara pokok yang harus difahami mengenai Tun Mahathir Mohamad ialah beliau hanyalah Perdana Menteri sementara untuk tempoh tidak lebih daripada dua tahun saja.

Salah satu sebab utama mengapa PH setuju untuk menamakan Tun Mahathir sebagai calon PM sebelum PRU14 lalu tentunya adalah kerana beliau ketika itu sudah pun berusia 93 tahun umurnya.

Ikut hukum akal, seseorang yang sudah berusia sebegitu lanjut, apalagi menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, tidak mungkin ada keghairahan yang melebih-lebih lagi terhadap kuasa.

Ikut hukum akal juga, seseorang yang sudah lanjut usia sebegitu, tentulah tidak tergamak untuk mungkir atau khianat kepada janji yang telah dipersetujuinya.

Tetapi, sebagaimana yang beberapa kali ditulis dalam blog ini dan disedari oleh hampir semua orang, Tun Mahathir nampaknya bukan begitu sifatnya.

Beliau mungkin boleh berhenti makan sebelum kenyang atau tidak sebegitu ghairah kepada benda-benda lain, namun ia bukanlah apabila berkaitan dengan kuasa.

Kuasa sentiasa merupakan sesuatu yang tidak pernah membuatkan Tun Mahathir puas atau kenyang dengannya.

Dengan beberapa tindakan yang dilakukannya selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ini, seorang pemimpin Bersatu yang agak rapat dengan Tun Mahathir berkata, Pengerusi PH itu kini seolah-olah rindu kepada kuasa yang pernah dipegangnya sebelum berundur pada 2003 lalu.

Lantaran rindu kembali kepada kuasa itulah yang mendorong wujudnya kecenderungan dalam beberapa tindakan Tun Mahathir yang memperlihatkan tempoh berkuasa selama dua tahun itu tidak mencukupi baginya.

Beliau kadang-kadang ternampak tidak sedar tentang faktor usia dan memegang kuasa melalui PH adalah berbeza dengan BN dahulu, apatah lagi kerana sudah wujud janji tidak lebih dua tahun saja untuknya menjadi Perdana Menteri itu.

Biar apa pun tindakan  atau usaha yang cuba dilakukan oleh Tun Mahathir Рmengimport masuk Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, mengacah-acah ingin berkuasa lebih lama atau menghangatkan lagi spekulasi mengenai undi tidak percaya Рperkara pokok yang harus disedarkan kepada lelaki yang menginjak usia 94 tahun itu ialah beliau sudah terikat dengan janji yang sudah pun dipersetujuinya.

PH, apa lagi Anwar Ibrahim, tidak harus terjebak sama sekali dengan isu usul undi tidak percaya ini. Berdiam diri saja dan jangan dilayan mengenainya.

Blog ini beberapa hari lalu sudah menekankan bahawa tiada rancangan langsung daripada sesiapa daripada dalam PH untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Ia mungkin hanya suatu permainan yang sengaja dicipta untuk membolehkan Tun Mahathir berkuasa dengan lebih lama.

Isu pokok bagi PH ialah memastikan janji peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah ditetapkan.

Ini adalah janji yang sedang diperhati oleh rakyat di mana ia akan menentukan sama ada PH mampu terus menjadi pilihan atau tidak dalam pilihanraya yang seterusnya.

Jika janji kepada individu yang bernama Anwar pun gagal dipastikan kejayaannya oleh PH, jangan harap rakyat mahu percaya janji atau harapan kepada mereka mampu dipenuhi.

-http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.