KJ: TAK SALAH NAJIB, ZAHID KEMPEN DI SEMENYIH

Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan Dr Ahmad Zahid Hamid dan Najib Razak berhak untuk turun berkempen bagi membantu kemenangan calon BN di Semenyih.

Beliau berkata, meskipun bercuti Ahmad Zahid masih lagi presiden Umno dan ketua pembangkang, ia tidak sepatutnya menjadi isu.

“Beliau masih lagi presiden Umno tak salah untuk beliau tampil, lagi pun beliau telah memaklumkan kehadiran beliau adalah “low key“.

“Tidak ada apa-apa kehadiran besar-besaran, ceramah yang dibuat secara terbuka macam malam ini beliau hanya pergi ke beberapa tempat surau dan sebagainya.

“Saya rasa biarlah, beliau masih lagi ketua pembangkang dan masih lagi presiden Umno walaupun masih bercuti, saya tidak melihat ini sebagai satu masalah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Kampung Sungai Lalang, Semenyih, malam tadi.

Bagaimanapun, pada awal Februari ini, Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden Mohamad Hasan berkata Ahmad Zahid telah melepaskan jawatan ketua pembangkang di parlimen.

Mohamad berkata pemimpin BN akan bermesyuarat untuk memutuskan ketua pembangkang yang baru.

Zahid pada 18 Disember lalu mengambil keputusan bercuti daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti, selepas menyerahkan kepimpinan Umno kepada Mohamad.

Keputusan itu diambil selepas sekumpulan anggota parlimen Umno bertindak keluar parti disebabkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Zahid.

Walaupun tiada jawatan rasmi nak bantu

Mengulas mengenai kehadiran Najib yang popular dengan slogan “bossku” turun berkempen di Semeyih, Khairy berkata ia tidak menjadi masalah untuk bekas perdana menteri itu berbuat demikian.

Khairy sebelum ini antara yang lantang mengkritik Najib selepas BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Sama juga dengan (Najib) walaupun kedua-dua mereka (Ahmad Zahid) tidak ada lagi jawatan yang rasmi dan aktif, Najib pun tidak ada jawatan rasmi dalam kepimpinan Umno, malah saya pun tak ada juga… tetapi masih aktif dalam Umno, kami nak bantu, jadi tak ada masalah.

“Macam saya sebutlah Najib ini bebas untuk melakukan kempen beliau dan sekiranya beliau menerima sokongan maka kita kena terima sebab ini adalah demokrasi dan beliau ada hak dan bebas untuk berkempen,” tambah Khairy yang juga anggota parlimen Rembau.

Sementara itu mengulas mengenai jentera Umno dan PAS dalam kempen pilihan raya kali ini, Khairy berkata ia tidak menjadi isu kerana di peringkat akar umbi ia berjalan lancar.

Ditanya mengenai pendedahan Sarawak Report yang mendakwa Umno membiayai kos deposit calon PAS yang bertanding dalam PRU ke-14 lalu.

Khairy berkata, pihak yang membuat tuduhan sewajarnya mengemukakan bukti yang kukuh.

MKINI

.