PAS: LUAHAN DR M GAMBARKAN WUJUD ‘PERTEMBUNGAN GERGASI’ DALAM PH

Dalam menegaskan sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini, PAS mendakwa berlaku pertembungan kuasa antara pemimpin utama dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dalam isu desas-desus kononnya ada pihak yang cuba mengganggu gugat kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, PAS mengulangi pendirian bahawa perkembangan yang berlaku dalam kalangan pimpinan PH mutakhir ini berhubung isu terbabit, sama ada berbentuk kenyataan atau perbuatan, termasuk luahan hati Mahathir sendiri, memberikan gambaran kepada umum bahawa wujudnya semacam pertembungan keras atau ‘clash of the Titans’ dalam kalangan pimpinan PH terhadap kepimpinan Mahathir.

“Di samping itu wujud juga unsur ketidakpatuhan atau insubordination yang jelas terhadap polisi dan arahan Mahathir sebagai perdana menteri,” kata PAS melalui kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Mahathir mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan berjanji untuk tidak menyokong Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, yang turut dinyatakan dalam persetujuan bertulis.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula menafikan dakwaan bahawa persetujuan berkenaan melibatkan penarikan sokongan terhadap Umno di Semenyih.

Sebaliknya, Takiyuddin berkata, walaupun PAS akan memberikan sokongan “pada tahap berbeza” kepada BN di Semenyih, faktor sokongan partinya terhadap Mahathir adalah kerana dua parti komponen PH sedang merancang untuk menyingkirkan Mahathir.

Sementara itu, kenyataan media PAS hari ini menambah bahawa parti mereka tidak boleh dipersalahkan berikutan desas-desus itu.

Sebaliknya, PAS menggesa pimpinan utama parti-parti PH menjelaskan “rahsia umum” berkenaan.

“PAS suka menegaskan sebarang bentuk sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia dibuat tanpa sebarang muslihat, sebaliknya demi kepentingan negara dan rakyatnya,” kata kenyataan itu.

“PAS telah memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM untuk membuat siasatan terperinci, termasuk mengarahkan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan tohmahan ini memberikan kenyataan masing-masing.

“Dalam hal ini PAS yakin SPRM akan membuat dapatan (finding) mereka dalam kadar yang segera hasil siasatan yang telus, profesional dan adil,” katanya.

mkini

.