SAYA MASIH PEGUAM NAJIB, KATA HAFARIZAM

WALAUPUN didakwa dengan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM15 juta hari ini, penasihat undang-undang Umno Mohd Hafarizam Harun berkata beliau masih peguam Najib Razak.

“Saya masih mewakilinya dalam dua kes, iaitu kes saman pegawai awam Tony Pua dan sebuah lagi kes berkaitan injuksi kes saman fitnah.”

“Jadi terdapat dua prosiding saya masih mewakili Datuk Seri Najib,” katanya kepada wartawan selepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dikenakan dua pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dituduh menunaikan cek milik Najib Razak berjumlah RM15 juta ke dalam akaun anak guamnya.

Hafarizam, 46, dikenakan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin oleh Hakim Azman Ahmad yang menetapkan tarikh pendengaran kes pada 25 Mac depan.

“Hari ini kes akhirnya sampai ke mahkamah di mana saya didakwa dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram. Saya tak boleh ulas banyak sebab kes sekarang dah masuk mahkamah dan ia boleh jadi ‘sub judice’ tetapi saya biarkan pasukan peguam saya buat pembelaan saya dan saya akan ambil peluang untuk bersihkan nama,” katanya.

Diminta mengulas fakta yang beliau adalah peguam kedua Umno selepas Shafee Abdullah didakwa kerana kesalahan jenayah, Hafarizam menjawab: “Saya tak boleh komen sebab perkara dalam mahkamah dan akan jadi ‘subjudice’ untuk komen.”

The Malaysian Insight memetik sumber SPRM berkata Hafarizam dan bekas penasihat media Najib, Paul Geoffrey Stadlen, kedua-duanya dikaitkan dengan RM15 juta berkaitan 1MDB.

Waran tangkap ke atas Stadlen sudah dikeluarkan semalam berkaitan dengan kesalahan skandal 1MDB.

Ditanya sama ada Stadlen ada menghubunginya, Hafarizam enggan mengulasnya.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Stadlen didaftarkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Dalam pertuduhan pertama, Stadlen dituduh mengarahkan siri pembayaran 27 transaksi, yang merupakan hasil kegiatan haram berjumlah RM8,111,322.43 daripada akaun seorang anak guam firma guaman, Messrs Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, kepada beberapa individu dan syarikat antara Jun dan Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengarahkan pemindahan RM6,139,078.34 yang merupakan hasil kegiatan haram, menerusi 16 transaksi daripada akaun anak guam firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat antara Januari dan Ogos 2015.

the malaysian insight

.