PAS GUNA WANG UMNO BAYAR DEPOSIT CALON PRU14, KATA LAPORAN

“DERMA” wang tunai Umno digunakan PAS untuk membayar deposit calon parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-14, dedah Sarawak Report.

Dalam pendedahan terbaru itu, portal itu berkata ia menerima pengesahan yang wang diterima PAS digunakan untuk membayar beberapa deposit calon PAS pada pilihan raya Mei lalu.

“Ketika ini ia memberikan gambaran berbeza kepada tuntutan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berkata tidak ada pakatan sulit mahupun kerjasama antara dua parti itu (Umno dan PAS),” kata laporan.

“PAS masih mendakwa pada pilihan raya lepas untuk jadi pembangkang kepada Umno/BN dan bertegas yang keputusan tidak terjangka dan sangat mahal untuk bertanding di semua kerusi Parlimen dan negeri tidak ada kaitan dengan rancangan memecahkan undi pembangkang bagi pihak Umno,” kata laporan itu lagi.

Laporan turut membangkitkan persoalan yang selepas pilihan raya, hampir serta merta kedua-dua parti itu menyatakan kerjasama mereka, malah turut bekerjasama dalam pilihan raya kecil walaupun beberapa minggu sebelum ini mereka seperti musuh ketat.

Tambahnya, perubahan sikap Hadi ini turut menimbulkan persoalan sama ada ia berlaku seperti dikata “mahu melupakan kesilapan lama dan menyatukan orang Islam” atau sebenarnya persahabatan yang dibeli dengan wang tunai, dakwaan yang diakui Nik Abduh dalam rakaman video yang kemudiannya dinafikan sebelum mengaku berbohong “kerana tidak mahu parti terus difitnah”.

Hadi sebelum ini memfailkan saman terhadap Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang mendedahkan parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Tetapi, selepas beberapa bulan, Hadi mencapai penyelesaian luar mahkamah dalam kes itu, tindakan yang mengejutkan banyak pihak. Butiran penyelesaian itu tidak didedahkan kepada umum.  – THE MALAYSIAN INSIGHT

‘DEPOSIT PAS UNTUK PRU14 DIBIAYAI OLEH UMNO’

Deposit untuk PAS bertanding dengan rekod jumlah kerusi tertinggi pada pilihan raya umum ke-14 dibiayai oleh Umno, dakwa Sarawak Report.

Portal pendedah maklumat itu melaporkan seorang pembantu bendahari Umno, Salleh Said Keruak telah memasukkan wang tunai RM2.5 juta ke dalam akaun Bank Islam milik PAS.

Sarawak Report mendapat pengesahan bahawa wang yang dibayar kepada PAS itu digunakan sebagai membayar deposit pilihan raya untuk calon parti yang bertanding dengan rekod jumlah kerusi terbesar.

“Kira-kira sejuta ringgit lagi juga dimasukkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS pada masa yang sama dengan cara sama,” katanya.

Salleh Said Keruak 

Sarawak Report berkata bukti-bukti berkenaan sepatutnya dikemukakan ke mahkamah London sebagai sebahagian daripada pembelaan editor Clare Rewcastle-Brown terhadap saman fitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Walau bagaimanapun, PAS telah menarik balik saman tersebut atas alasan kosnya adalah terlalu mahal.

Pada pilihan raya umum lalu, PAS bertanding di 155 kerusi, kerusi parlimen paling banyak yang dipertandingkan oleh mana-mana parti di negara ini.

Deposit untuk bertanding kerusi parlimen adalah RM10,000 manakala kerusi negeri pula bernilai RM5,000.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Salleh, PAS dan Umno berkaitan dakwaan itu. – MKINI

.