SIKAP PEMIMPIN PAS BOLEH BUAT AHLI ‘PENING’

Ikrar sokongan dibuat pemimpin PAS terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad boleh memberikan kesan negatif dalam kalangan anggota setia PAS.

Menurut pensyarah kanan program sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor, prinsip kepimpinan parti itu yang berubah-ubah dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan PAS berhadapan dengan defisit moral.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) , PAS menghalakan senapang dan peluru mereka terhadap PH dengan begitu teruk.

“Tiba-tiba hari ini PAS menyatakan sokongan kepada Mahathir yang memimpin PH.

“Bagi penyokong PAS yang anti-PH, mereka akan tengok: Eh? Apa yang pemimpin sedang buat ni?

“Itu menimbulkan keadaan mereka mempersoalkan motif pemimpin PAS pada hari ini dan mungkin PAS boleh menghadapi masalah defisit moral,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengambil contoh situasi menimpa bekas presiden PAS, Allahyarham Mohd Asri Muda yang ditolak parti kerana bekerjasama dengan Perikatan tanpa berbincang dengan peringkat atasan dan pertengahan PAS, katanya, sentimen yang sama mungkin timbul dalam sebahagian ahli PAS kini.

“Haji (Abdul) Hadi mungkin dicabar berdasarkan asas moral yang kuat daripada beberapa segmen dalam PAS, seperti masa kepimpinan Asri dahulu, […] sehingga diketepikan dan dilantik pula pemimpin yang lebih kritikal terhadap BN atau kerajaan ketika itu,” katanya.

Ahli boleh buat pertimbangan

Untuk rekod, PAS dan Perikatan membentuk kerajaan campuran pada 1973 sebelum PAS diketepikan daripada gabungan berkenaan pada 1977.

Asri kemudian meletakkan jawatan sebagai presiden PAS pada 1982 setelah kepimpinannya dipersoalkan.

Bagaimanapun, kata Nadzri, sokongan PAS kepada PH yang berlaku di peringkat atasan itu tidak semestinya turut dizahirkan oleh anggota parti bawahan.

“Orang bawahan ini ejen yang pragmatik juga. Mereka boleh mempertimbangkan pelbagai faktor.

“Apabila anggota melihat pemimpin berpakat dengan sana, berpakat dengan sini, akhirnya mereka (boleh) secara organik membuat gerakan sendiri untuk menangkan calon-calon yang tertentu, walaupun arahan dari atas adalah lain,” katanya lagi.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, biarpun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengakui komitmen PAS di Semenyih tidak sama dengan yang ditunjukkan di Cameron Highlands, di peringkat akar umbi, komitmen aggota PAS setempat untuk membantu Umno memenangi PRK kali ini tidak berubah.

Mengulas lanjut tentang perkara berkenaan, Nadzri mengambil contoh ketika penubuhan Perikatan pada 1950-an antara parti Umno dan MCA.

Ketika itu katanya Umno ramai penyokong Melayu, dan MCA kekurangan penyokong namun memiliki wang sebagai sumber ekonomi.

Katanya pihak yang mengasaskan MCA terdiri daripada ramai kalangan tauke dan taikun.

“Jadi mereka di peringkat bawahan, di peringkat pilihan raya tempatan, berpakat. Di mana Umno bertanding, MCA tak bertanding, tetapi akan sokong. Begitu juga di tempat MCA bertanding.

“Apabila orang atas tengok, boleh digunakan (formula itu), maka mereka buat.

“Sebab itu, tak semestinya apa yang dicakapkan pimpinan atasan terjadi juga di bawah, kerana pengundi di bawah ialah pengundi yang rasional,” jelasnya lagi.

Umno 2.0 sedang lahir

Apabila ditanya tentang tahap sokongan pengundi pada PRK kali ini, Nadzri meramalkan peratus keluar mengundi akan mengalami penurunan.

Pada 16 Februari, Dr Mahathir membuat pendedahan mengejutkan dengan mendakwa PAS berjanji tidak akan menyokong Umno dan BN dalam PRK Semenyih.

Janji itu kata Mahathir diberikan dalam pertemuan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Takiyuddin dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dengan perdana menteri minggu lalu.

Kata Mahathir, mereka juga memberikan persetujuan secara bertulis.

Bagaimanapun Takiyuddin menjelaskan, persetujuan bertulis itu sebenarnya draf ikrar menyokong Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadapnya.

Mengulas tentang langkah politik Mahathir kebelakangan ini pula, Nadzri menyifatkan pengerusi Bersatu itu sedang membina ‘Umno Baru 2.0’.

Muhamad Nadzri

Katanya, tindakan Mahathir menerima bekas wakil rakyat Umno secara terbuka, membuka Bersatu di Sabah, dan terbaru perjanjian dengan PAS adalah formula hampir sama dengan Umno Baru pada 1988 dahulu.

Umno Baru merujuk kepada penubuhan semula parti itu setelah ia diharamkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1988.

“Formula yang hampir sama, dengan menubuhkan parti yang baru, menolak pesaing mereka dan terima semua yang lain.

“Mahathir tak bersetuju dengan Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, dan mungkin ada beberapa lagi, tapi yang lain – lagi 95 peratus itu – tiada masalah,” katanya.

Tambah Nadzri, Bersatu yang dahulu sebuah parti paling lemah dalam PH kini semakin hampir untuk menjadi parti paling dominan dalam pakatan tersebut.

“Dengan strategi besar-besaran Mahathir, dia bukan sahaja boleh mengubah haluan pertempuran di Semenyih, malah dalam PH sendiri.

“Seperti orang kata, politik ini adalah permainan nombor,” katanya lagi.

mkini

.