BERSATU NAFI EDAR RISALAH KUTUK NAJIB, ROSMAH

BERSATU nafi menyebar risalah memaparkan imej bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

“Kita sendiri tak tahu. Kita dapat maklumat tentang risalah diedarkan malam tadi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang Sallehudin Amirudin di pusat mengundi Kg Baru Semenyih hari ini.

Risalah itu bukan diedarkan oleh Pakatan Harapan (PH), kata Salleh.

“Bagaimanapun, kami nampak risalah dan sepanduk diedarkan di Semenyih. Saya menafikan itu daripada bilik gerakan pusat,” tambah ketua pengerangan Bersatu Selangor itu.

Risalah pertama memaparkan gambar Rosmah bersama koleksi beg tangan dan jam tangan mewahnya dengan kata-kata “Malaysia jangan lupa! Jasa-jasa mereka!”. Manakala di sebelah belakangnya memaparkan gambar polis sedang merampas kotak-kotak berisi barangan mewah.

Menurut polis, barangan mewah bernilai RM1.1 bilion dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

Satu lagi risalah pula memaparkan karikatur penyamun bertopeng menaiki motosikal melaungkan “Malu apa, Bossku”. Turut tertera ialah perkataan “Pencuri, Perompak, Penyangak, Penyamun”.

Empat perkataan tersebut menjadi modal kempen PH semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Slogan “Malu apa, Bossku” mula digunakan Najib semasa mengadakan lawatan ke Gombak pada bulan lepas, semasa kempen PRK Cameron Highlands.

Di sebelah belakang risalah itu pula mengandungi artikel dan gambar anak Rosmah, Riza Aziz bersama para pelakon filem “The Wolf of Wall Street” yang didakwa dibiaya dengan wang 1MDB.

Najib yang berdepan 42 pertuduhan jenayah rasuah dan salah guna kuasa, setakat ini sudah tiga kali datang ke Semenyih sejak kempen bermula Sabtu.

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor bulan lepas. PRK ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanapi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas).

the malaysian insight

.