SIASATAN DITERUSKAN WALAU HAMID ENGGAN BERI KETERANGAN, KATA SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pertemuan dengan Hamid Sultan Abu Backer berhubung afidavit mengejutkan yang difailkan minggu lalu berhubung dakwaan salah laku dalam institusi kehakiman, namun menambah bahawa tiada keterangan direkodkan daripada hakim mahkamah rayuan itu.

Dalam satu kenyataan yang dikelarkan etang ini, agensi anti-rasuah itu berkata, pegawainya mengadakan pertemuan dengan Hamid di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini untuk mendapatkan pengesahan berhubung afidavit itu.

“Dalam pertemuan tersebut, tiada sebarang rakaman percakapan diambil oleh SPRM dan Hamid telah mencadangkan agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan ke arah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” menurut kenyataan itu.

“SPRM akan mengkaji terlebih dahulu maklumat daripada afidavit itu dan meneruskan siasatan bagi melihat sekiranya terdapat unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa di bawah Akta SPRM.”

Terdahulu hari ini, The Malaysian Insight melaporkan lima pegawai SPRM, termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki bertemu hakim itu di mahkamah untuk dirakam kenyataannya.

Bagaimanapun Hamid enggan kenyataannya direkod dan mengatakan dia hanya akan memberikan kenyataan kepada petugas khas untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Hamid diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Joy Appukuttan dalam pertemuan dengan pasukan SPRM.

Sementara itu, SPRM turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai perkara yang dinyatakan dalam afidavit agar melaporkan dan menyalurkan maklumat terus kepada pejabat SPRM terdekat.

Menurut agensi anti-rasuah itu, mereka yang mempunyai maklumat akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat.

Minggu lalu, Hamid mendakwa dalam afidavitnya anggota badan kehakiman bersekongkol untuk menipu kerajaan.

Afidavit itu menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman selama dua kes yang didakwa mendapat campur tangan kehakiman.

Hamid mendakwa beberapa pegawai tertinggi kehakiman menolong pihak swasta menipu kerajaan.

Beliau juga mendakwa ada hakim terkemuka lain yang memihak kepada bekas kerajaan.

Hamid dalam afidavitnya berulang kali menegaskan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat perkara itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.