RANTAU SECARA TRADISI KERUSI PKR TAPI BOLEH BINCANG, KATA ANWAR

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara tradisinya DUN Rantau merupakan milik PKR tetapi bukan sesuatu yang tidak boleh diubah.

“Secara biasa begitu, tetapi kita putuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan perlu ikut proses.

“Selama ini memang tradisinya begitu tetapi tradisi bukan hukum,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerusi DUN Rantau adalah kerusi tradisi PKR.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangannya di DUN Rantau pada pilihan raya umum lepas terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) bagi DUN Rantau untuk diadakan.

Anwar berkata keputusan parti mana akan bertanding akan dibincangkan majlis presiden PH.

Katanya, selepas itu, jika diberikan kepada PKR, barulah proses memilih calon akan dilakukan.

Selepas tewas di tangan Barisan Nasional di Parlimen Cameron Highlands, Pakatan Harapan ketika ini berdepan pertandingan 4 penjuru di DUN Semenyih.

– M’kini

.