TIDAK PERNAH ADA RANCANGAN USUL UNDI TAK PERCAYA TERHADAP TUN M, KENAPA PAS PERLU TERHEGEH-HEGEH?

Pas akhirnya mendedahkan perkara sebenar mengenai pertemuan dan perbincangan Hadi Awang bersama dua lagi pemimpinnya dengan Tun Mahathir Mohamad hanyalah berkenaan sokongan kepada Perdana Menteri jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang turut ada dalam pertemuan itu bersama Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, itulah yang menyebabkan sepucuk surat contoh berbentuk draf ikrar telah diserahkan kepada Tun Mahathir.

Kata beliau, pihaknya tidak pernah memaklumkan sama sekali kepada Tun Mahathir untuk tidak membantu UMNO dan BN dalam PRK Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac depan.

Takiyuddin menjelaskan perkara ini dalam sidang media bersama UMNO di Semenyih yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pendedahannya Sabtu lalu, Tun Mahathir berkata, Hadi Awang berkata kepadanya, parti itu tidak akan turun membantu UMNO di Semenyih kerana yang dilawannya adalah Bersatu, bukan DAP seperti di Cameron Highlands.

Tun Mahathir  berkata lagi, perkara itu turut dinyatakan dalam sepucuk surat yang bertandatangan.

Sehari kemudian, Perdana Menteri menjelaskan, ia hanyalah surat contoh yang ditandatangani oleh Takiyuddin selaku Setiausaha Agung Pas.

Menurut Takiyuddin lagi, Pas akan tetap berkempen dan bekerja sedaya upaya untuk membantu kemenangan calon BN di Semenyih, sesuai dengan kerjasama yang sudah dijalin dengan UMNO atas kedudukan sebagai sesama parti pembangkang di negara ini.

Beliau turut memaklumkan tindakan menyerahkan draf surat sokongan itu adalah berdasarkan kenyataan Tun Mahathir sendiri yang memaklumkan ada dua parti dalam PH yang mahu melakukan usul tersebut.

“Dia (Tun Mahathir) ada sebut dua parti, tapi saya tak mahu sebutlah,” tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Isu pokok di sini ialah hakikatnya tidak pernah ada sama sekali mana-mana pihak dalam PH mahu mengusulkan sebarang undi tidak percaya kepada Tun Mahathir.

PH sentiasa berpegang dan menghormati konsensus mengenai kedudukan Tun Mahathir yang telah pun dipersetujui sebelum PRU14 lagi.

Yang selalu diingatkan ialah agar beliau sentiasa berpegang kepada janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang dijanjikannya sendiri.

Bermakna, selagi Tun Mahathir sentiasa berpegang kepada janjinya, selagi itulah beliau akan terus diberikan sokongan untuk terus menerajui kerajaan.

Kenapakah Tun Mahathir perlu menyebut perkara tersebut dan seolah-olah berharap kepada sokongan daripada 18 Ahli Parlimen Pas?

Apakah Tun Mahathir sebenarnya tidak mahu berpegang kepada janji penyerahan kuasa dan seterusnya ingin menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang lebih lama?

Yang lebih pelik, mengapakah Pas pula terhegeh-hegeh menawarkan sokongan, siap dengan memberikan surat contoh sekali, sedangkan sebelum PRU14 lalu mereka begitu kuat mengecam dan merendah-rendahkan Tun Mahathir, termasuk kenyataan Hadi Awang yang mengatakan Pengerusi PH itu hanya layak menjadi doktor di klinik 1Malaysia saja.

Kenapa sekarang begitu beria-ia mahu jadi pembela?

Ataukah Pas memang kerjanya suka menghimpit dan membela sesiapa saja yang ada kuasa dan berjawatan Perdana Menteri?

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.