SHAFIE TERIMA KEMASUKAN PPBM KE SABAH, GESA PENYOKONG BERTENANG

KOTA KINABALU – Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal menerima hakikat parti pimpinannya tidak boleh menghalang mana-mana parti melebarkan sayap ke Sabah dan ia akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi kepentingan rakyat.

Ketua menteri Sabah itu menasihatkan penyokong Warisan bertenang, walaupun perjanjian sebelum pilihan raya umum ke-14 yang PPBM tidak akan mengembangkan sayap ke negeri itu.

“Berhubung kemasukan PPBM ke Sabah, kami tidak boleh menghalang mereka atau mana-mana parti mengenai perkara itu.

“Undang-undang kita juga membenarkan parti baru ditubuhkan. Kami bagaimanapun sangat jelas dengan pendirian dan hala tuju parti kami.

“Nasihat saya ialah jangan beremosi, tetapi kekal fokus membangunkan negeri ini demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya yang membacakan kenyataan disediakan dalam sidang media ringkas hari ini.

Shafie berkata, Warisan akan memastikan hak Sabah dikembalikan dan disahkan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, rakyat Sabah memberi mandart kepada Warisan untuk mentadbir negeri itu pada PRU14.

“Kami menghormati mandat itu dan akan terus mentadbir negeri sebaik mungkin bagi memastikan pembangunan dan menyediakan peluang pekerjaan. Itu yang dijanjikan dan kami akan memastikan ia dipenuhi.”

Shafie berkata, Warisan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, akan bekerjasama dengan gabungan itu demi kepentingan rakyat.

Shafie berkata, beliau belum menemui Tun Dr Mahathir Mohamad selepas perdana menteri dan pengerusi PPBM itu mengumumkan keputusan PPBM mengembangkan sayap ke Sabah minggu lalu.

– FMT

.