CAWANGAN KHAS SIASAT NIK ABDUH BAIK DENGAN CIA

POLIS Cawangan Khas menyiasat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung dakwaan beliau ada hubungan akrab dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, kata sumber polis.

Ahli jawatankuasa pusat PAS itu membuat dakwaan tersebut dalam rakaman audio mengenai pengakuannya parti Islam itu menerima dana dari Umno.

Kenyataan beliau berbunyi: “Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana.”

Sumber berkata, beberapa laporan polis yang dibuat pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) sudah dirujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai kaitan dengan dana RM90 juta yang didakwa pemberian Umno kepada PAS.

“Namun, Cawangan Khas sedang meneliti dan memantau rakaman audio pemimpin PAS itu kerana kaitan dengan CIA tidak boleh dipandang remeh.

“CIA sama fungsi dengan Cawangan Khas di negara kita. Jadi perlu siasat apa tujuan dan kaitan pemimpin itu dengan agensi risikan itu bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara tidak terjejas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan rakaman audio yang tersebar adalah suara Nik Mohamad Abduh namun maksudnya bukan seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu.

Oleh itu, Takiyuddin meminta semua pihak meneliti keseluruhan ucapan Nik Abduh untuk memahami maksud sebenar memandangkan banyak huraian disampaikan, dan bukannya mendengar separuh saja daripada rakaman itu.

Pada Februari tahun lalu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, sebuah klip audio tersebar di media sosial, didakwa “bukti” penyaluran wang oleh Umno kepada PAS.

Potongan rakaman itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Wang berkenaan didakwa digunakan pada pilihan raya negeri Sarawak pada 2016 dan untuk menjatuhkan DAP.

Versi penuh audio yang tersebar kemudiannya antara lain mendedahkan beberapa pimpinan PAS mengambil wang daripada Umno selain suara yang dikatakan mirip Nik Abduh itu mendakwa mempunyai hubungan dengan CIA.

Nik Abduh ketika itu menafikan rakaman audio itu suaranya dan berkata ia “karut, mengarut dan fitnah”.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Abdul Hadi, Zaharuddin Muhammad.

Nik Abduh antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS yang didakwa menerima RM90 juta dikatakan dari 1MDB, memberi keterangan kepada SPRM.

Nik Abduh berkata beliau menafikan rakaman itu setahun yang lalu atas nasihat parti.

– https://www.themalaysianinsight.com

.