ASAL USUL ‘MALU APA BOSSKU’, SLOGAN KEMPEN BARU NAJIB RAZAK

SLOGAN “Malu Apa Bossku” kini meletup di media sosial sejak bekas perdana menteri Najib Razak berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Slogan itu mengingatkan orang kepada Najib, digunakan oleh pendukung dan penentangnya baik untuk memuji atau mengeji beliau yang sekarang berdepan 42 pertuduhan jenayah di mahkamah terkait dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Slogan itu asalnya adalah bahasa slanga yang digunakan anak muda bermotosikal, merujuk sebagai ganti panggilan kepada kawan-kawan, kata usahawan Mohd Nor Kharoni Khamisan, yang mula menyebarkan rakaman video Najib mengucapkan slogan itu di media sosial.

“‘Malu apa’ ini datangnya dari seorang kawan saya yang datang melepak di kedai makan tetapi tidak ada duit.

“Ada RM5 saja? Malu apa, bossku, kata dia. Sejak itu, kita asyik cakap-cakap… rasanya sejak enam bulan lepas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Makna sebenarnya ialah bila buat sesuatu itu tidak perlu malu. Ada duit sedikit ke, hendak buat apa ke, janji halal.”

Kerana popular dalam kalangan mat motor, Kharoni yang juga pengasas tempat makan Lepaking di Kuala Lumpur ketika itu bercadang mengeluarkan produk “Malu Apa Bossku” seperti baju dan pelekat yang selalu jadi kegilaan anak muda bermotosikal.

Bekas perdana menteri Najib Razak turut sama menyanyi bersama kumpulan busker di Tapak Urban Street Dining, Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2019.
Bekas perdana menteri Najib Razak turut sama menyanyi bersama kumpulan busker di Tapak Urban Street Dining, Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2019.

Semasa datang ke Lepaking di Jalan Gombak awal bulan lalu, Kharoni merakamkan video beliau dengan bekas perdana menteri itu mengucapkan slogan tersebut – rakaman yang kemudiannya tular sejak 11 Januari lalu dan jadi slogan Najib.

“Najib pun cakap ini bukan setakat viral tetapi sudah meletup-letup, lebih daripada tsunami.

“Itu sejarah bossku,” kata Kharoni.

Najib kemudiannya menggunakan slogan itu sebagai platform baharu beliau untuk terus bergerak aktif dalam politik tanpa melibatkan parti yang pernah diterajuinya Umno dan BN.

 

Pemangku presiden Umno Mohamad Hassan dalam satu wawancara baru-baru ini berkata slogan itu bukan kempen Umno tetapi adalah pendekatan Najib, dengan gayanya tersendiri.

“Saya yakin apa yang dilakukan oleh beliau (Najib) adalah untuk menyatukan semula rakyat Malaysia agar tidak berpecah,” kata Mohamad.

Sumber pasukan media sosial Najib berkata slogan itu antara cara untuk Najib terus kekal dalam perhatian umum tanpa melibatkan Umno dan BN.

Sejak parti kalah Pilihan Raya Umum ke-14, Najib yang melepaskan jawatan dalam Umno dan BN tiga hari selepas keputusan bersejarah itu tidak mempunyai jawatan parti di peringkat nasional. Beliau masih ketua Umno Bahagian Pekan dan ahli Parlimen.

Slogan itu mendekatkan Najib dengan anak muda tetapi dikecam pemimpin Pakatan Harapan dan penyokong mereka.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali misalnya menukar slogan itu kepada “Malu Apa Pencuriku” manakala Penyelaras Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hassan menukar kepada “Tolonglah Malu Bossku”.

– https://www.themalaysianinsight.com

.