SEPUPU BERANG DENGAN PERANGAI NIK ABDUH

Anak saudara bekas menteri besar Kelantan, Mohd Sabri Salleh berang dengan penjelasan sepupunya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengaitkan allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai alasan untuk mempertahankan diri dalam isu penafian rakaman audio.

Mohd Sabri berkata, dia cukup marah dengan perangai Nik Abduh itu dan menjadi sebab mengapa laporan polis dibuatnya sebelum ini.

“Aku cukup marah dengan perangai hodoh Nik Abduh ni. Antara sebab aku buat laporan polis pasal suara dia dulu pun sebab suara itu kaitkan Allahyarham Nik Abduh Aziz yang sudah meninggal terima duit haram Umno.

“Kali ini dia fitnah almarhum lagi sekali. Memang betul anak derhaka,” katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Tulisan itu dilihat sebagai respon balas terhadap penjelasan Nik Abduh mengenai alasannya membuat penafian terhadap rakaman audio ucapannya yang tersebar luar sejak setahun lalu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Nik Abduh yang juga anggota parlimen Bachok berkata, tindakan beliau menafikan kesahihan suaranya dalam audio PAS menerima dana daripada Umno sebelum ini adalah langkah yang tepat.

Katanya, dalam soal menjaga kerahsiaan parti perkara itu juga pernah diamalkan oleh ayahnya, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memimpin PAS.

“Ia hanya soal kerahsiaan dan bila kita berada dalam parti besar apatah lagi parti Islam, maka soal kerahsiaan itu adalah sesuatu yang valid, ada ilmunya dalam agama. Banyak contoh-contohnya.

“Saya buat contoh yang dekat kita di Kelantan ini ialah dalam isu baiah, taklid talak (isteri) terhadap wakil rakyat PAS di Kelantan. Apabila dokumen itu tular, almarhum tok guru Nik Aziz ditanya dan dia menafikan sekeras-kerasnya.

“Maknanya kalau nak kata bohong pun bohonglah, tapi ia bab kerahsiaan. Dia menjaga rahsia wujudnya baiah itu walaupun dah bocor sampai ke mati,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, semalam.

Sebagai rekod, pada 3 April tahun lalu Mohd Sabri membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman audio yang mengandungi suara Nik Abduh itu.

Laporan itu juga katanya bagi membersihkan nama Allahyarham Nik Abdul Aziz yang turut disebutmenerima duit Umno dalam rakaman suara tersebut.

Malah, Mohd Sabri yang juga bekas ketua pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Pasir Puteh sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi dalam kes tersebut.

– M’kini

.