RAMAI HAKIM TERTINGGI TERCEMAR, DAKWA HAKIM MAHKAMAH RAYUAN

KUMPULAN hakim di Mahkamah Persekutuan sekarang, mahkamah tertinggi di negara ini, kebanyakannya tercemar, kata Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavit mengejutkan yang difailkannya hari ini.

Hamid berkata walaupun ada rasa takut ditegur di kalangan mereka apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) baharu mengambil alih selepas pilihan raya umum lalu, mereka masih terus melakukannya.

“Terdapat ramai hakim bagus yang mempunyai integriti serta kecekapan di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi, termasuk pesuruhjaya kehakiman.

“Saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama kepada kebanyakan hakim tertinggi pada masa lalu dan sekarang kerana mereka mengetahui salah laku dan tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan ‘pembunuhan beramai-ramai’ dalam pentadbiran keadilan.

“Malah beberapa hakim kanan terlibat secara langsung atau tidak dalam membetulkan koram dan mempunyai pengetahuan penuh mengenai perlembagaan serta salah laku kehakiman,” katanya dalam afidavit itu.

Beliau menambah semua hakim ini mendiamkan diri atau menyokong jenayah perlembagaan dilakukan hakim tertinggi demi kepentingan sendiri yang berkaitan dengan kenaikan pangkat, dengan itu memusnahkan integriti pentadbiran keadilan.

“Ini terus berlanjutan tanpa perubahan walaupun selepas perubahan kerajaan kerana terdapat material mencukupi untuk hakim tertinggi terus mengelirukan orang ramai dengan tidak mendedahkan jenayah kehakiman,” katanya.

Afidavit beliau menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim negara gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman berhubung dua dakwaan insiden campur tangan kehakiman.

Sangeet, anak kepada mendiang Karpal Singh, memfailkan saman pemula terhadap pejabat ketua hakim bulan lalu, mendakwa beliau gagal bertindak berhubung dakwaan campur tangan kehakiman dalam dua kes – rayuan hasutan bapanya dan kes pertukaran agama anak M Indira Gandhi.

CJ Richard Malanjum tidak dinamakan dalam saman Sangeet, yang merujuk kepada ketua hakim negara.

– https://www.themalaysianinsight.com

.