BADAN KEHAKIMAN BANTU KERAJAAN SEBELUM INI DALAM BEBERAPA KES, KATA HAKIM

BADAN kehakiman bersalah kerana memastikan beberapa kes tertentu berjalan mengikut apa yang dikehendaki Barisan Nasional sebelum ini, dedah hakim Mahkamah Rayuan dalam afidavit mengejutkan yang difailkan hari ini.

Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer berkata pangkat tertinggi badan kehakiman itu memiliki “skuad” khas untuk membentuk koram untuk duduk di peringkat yang lebih tinggi sehingga hakim tidak dapat menolak untuk cenderung ke arah kerajaan ketika itu.

“Saya mendapat maklumat banyak salah laku hakim perlembagaan, dan memainkan peranan untuk mengatur kartel kehakiman untuk duduk di koram bagi membantu kerajaan yang lalu.

“Saya memanggilnya hakim-hakim barisan kehakiman. Ada di dalam badan kehakiman memanggilnya skuad pembunuh.

“Skuad ini bukan koram kekal. Mereka akan ditarik untuk melaksanakan pembunuhan undang-undang,” katanya dalam afidavit 65 muka surat yang dilihat The Malaysian Insight.

Beliau memberi contoh rayuan Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan yang mana katanya hakim biasanya akan memanggil hakim kanan untuk diberi taklimat berhubung apa yang akan dilakukan.

Satu lagi contoh yang beliau berikan ialah keputusan Mahkamah Rayuan di mana beliau telah menjadi sebahagian daripada koram yang dibuat pada masa itu iaitu pembebasan timbalan speaker Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad pada 2014 berhubung kes perhimpunan.

Mahkamah rayuan kemudiannya memutuskan bahawa ia adalah tidak berperlembagaan untuk menghendaki supaya rakyat memberikan notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan aman seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA).

Bagaimanapun hakim tertinggi yang dirujuk olehnya sebagai “ARLC”, duduk di Mahkamah Rayuan dalam kes yang sama seperti rayuan Nik Nazmi untuk mengabaikan kesan keputusan pertama.

“Itu meninggalkan dua keputusan, satu yang memihak kepada tertuduh dan yang lain memihak kepada pendakwaan, atau lebih tepat pada masa itu kerajaan,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.