ROMBONGAN KE TURKI UNTUK BERCUTI, DAKWA PEGAWAI KANAN POLIS

PEGAWAI kanan polis membidas kenyataan Muhyiddin Yassin mempertahankan lawatan rombongan pegawai atasan polis ke Turki, mengatakan bahawa kunjungan itu adalah percutian kelompok elit di Bukit Aman dan isteri mereka.

Muhyiddin, yang juga menteri dalam negeri, berkata beliau meluluskan lawatanKetua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun atas kepercayaan ia bertujuan mempelajari usaha menangani kegiatan judi dalam talian.

Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau tidak tahu bahawa lawatan itu disertai sekurang-kurangnya 16 pegawai atasan polis yang sesetengahnya membawa isteri bersama.

“Saya beri kelulusan dan lawatan itu untuk menangani judi online. Tetapi saya tidak tahu berapa ramai pegawai yang ke Turki atau adakah mereka terbang dengan tiket kelas bisnes,” kata Muhyiddin kelmarin.

Pegawai kanan polis dari ibu pejabat di Bukit Aman, yang tidak menyertai lawatan ke Turki, bagaimanapun menyelar rombongan Fuzi sebagai tidak wajar ketika ada banyak yang perlu diselesaikan di tanah air.

“Tak mengapalah kunjungan itu ditaja, tetapi untuk pergi dengan rombongan besar ketika ada banyak yang hendak dibuat di sini, tidak kenalah,” kata seorang pegawai yang enggan identitinya didedahkan.

“Kalau lawatan ini untuk belajar cara membanteras judi online, kenapa bawa isteri bersama?”

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau meluluskan lawatan Fuzi Harun dan pegawai kanannya atas tanggapan ia dilakukan untuk belajar tentang jenayah perjudian dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2019.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau meluluskan lawatan Fuzi Harun dan pegawai kanannya atas tanggapan ia dilakukan untuk belajar tentang jenayah perjudian dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2019.

Pegawai itu mempertikaikan apakah Fuzi memperdayakan Muhyiddin untuk percaya lawatan itu bertujuan mempelajari kaedah menangani judi dalam talian apabila gambar-gambar yang tersebar menunjukkan mereka bercuti.

Gambar-gambar rombongan itu bersiar-siar di Istanbul dimuat naik ke Facebook oleh agensi pelancongan yang mengendalikan kunjungan mereka di Turki. Ia kemudian dipadamkan selepas laman web Sarawak Report mempersoalkan apakah lawatan itu menggunakan dana rakyat.

Kunjungan Fuzi dan rombongannya ke Istanbul didedahkan portal Sarawak Report pada Ahad.

Portal itu melaporkan Fuzi dan pegawainya, yang sebahagiannya disertai isteri, menginap di Hotel Sura Hagia Sophia bertaraf empat bintang di Sultanahmet di Istanbul.

Sarawak Report menganggarkan kunjungan itu menelan belanja lebih RM250,000 untuk tiket penerbangan dan hampir RM60,000 untuk penginapan, tidak termasuk perbelanjaan lain.

Menurut Muhyiddin, lawatan itu dibiayai Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961, bertanggungjawab antara lain mengendalikan urusan lumba kuda di Malaysia.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagaimanapun berkata kementeriannya tidak mengeluarkan satu sen pun untuk rombongan itu. Katanya, kos rombongan itu datangnya dari syarikat ramalan nombor Da Ma Cai, dan diluluskan oleh Lembaga Totalisator Malaysia.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai lawatan itu dan saya tidak meluluskannya kerana ia diluluskan oleh Lembaga Totalisator,” kata Lim, semalam.

“Kami (MoF) tidak memberi satu sen pun kepada syarikat atau kepada Lembaga Totalisator.”

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan komen Da Ma Cai.

Fuzi dan rombongannya pulang ke Malaysia semalam. Beliau yang dijadual bersara pada Mei ini masih belum memberikan sebarang komen mengenai rombongannya ke Turki.

– https://www.themalaysianinsight.com

.