PELUANG PAKATAN TIPIS MENANG DI SEMENYIH, KATA KAJIAN

BERSATU berpeluang untuk menewaskan Umno dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini tetapi ia bukan kemenangan yang pasti, kata kajian dilakukan Institut Darul Ehsan (IDE).

Timbalan Pengerusi IDE Profesor Dr Redzuan Othman berkata walaupun sokongan kepada Pakatan Harapan di kerusi itu sudah jatuh sebanyak 4%, Bersatu dijangka mampu mengekalkan kerusi itu dengan marjin tipis.

Bersatu yang menang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, ia dijangka hanya mendapat 47% undi dan Umno-Barisan Nasional dijangka dapat 36% undi.

“Perbezaan peratusan ini menunjukkan ada peluang tipis. Beza 11% tak banyak, jadi kita boleh buat kesimpulan yang mereka akan menang jika mereka dapat undi 51%,” kata Redzuan pada sidang media mendedahkan hasil kajian IDE hari ini.

Badan pemikir kerajaan Selangor itu melakukan kajian melibatkan 1,142 pengundi Semenyih, kerusi DUN Selangor yang kosong selepas wakil rakyatnya meninggal dunia bulan lepas.

PH dan BN akan mendedahkan calon mereka hari ini. Sehingga sekarang, hanya Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendedahkan calon mereka, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, yang akan bertanding di Semenyih.

Bersatu menang di Semenyih pada PRU14 lalu dengan majoriti undi 8,964 dalam pertandingan empat penjuru dengan BN, PAS dan PSM, pertama kali merampas kerusi majoriti Melayu itu daripada BN- Umno.

Redzuan bagaimanapun berkata, sentimen pengundi mungkin akan berubah sebaik sahaja semua parti mengumumkan calon mereka.

“Faktor calon kuat di sini. Pengundi menunggu untuk tengok siapa yang diletakkan oleh kedua-dua parti dalam pilihan raya kecil ini dan mereka mungkin ubah undi bergantung kepada calon,” katanya.

Kajian IDEa bagaimanapun mendapati 60% responden sudah membuat keputusan untuk mengundi parti sama seperti PRU14 lalu.

Pencalonan PRK akan berlaku Sabtu ini dan pengundian pada 2 Mac depan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.