MB SELANGOR GESA SEMUA PIHAK PATUH KEPUTUSAN MAHKAMAH PINDAHKAN KUIL

SEMUA pihak perlu patuh kepada keputusan mahkamah tinggi untuk membatalkan injuksi pemindahan kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini.

Katanya, kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan semua pihak terlibat dalam perebutan tanah tapak kuil terletak di USJ 25, Subang Jaya itu dan menggesa mereka semua menghormati undang-undang.

“Justeru Kerajaan Negeri Selangor menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghormati dan mematuhi keputusan penghakiman bagi menjamin ketenteraman awam dan keluhuran undang-undang.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mematuhi dan melaksanakan keputusan penghakiman dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi menjamin kesentosaan Negeri Selangor Darul Ehsan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak permohonan injuksi dibuat penganut kuil tersebut untuk menghalang pemaju One City Development mengambil alih tanah tapak kuil itu.

Hakim Wong Kian Kheong berkata plaintif, yang mewakili 50 penganut, gagal “menunaikan kewajipan untuk memuaskan hati mahkamah bahawa ada keadaan khusus” untuk menghalang saman itu dan One City adalah pemilik berdaftar tanah berkenaan.

Beliau berkata plaintif tidak mempunyai locus standi kerana mereka hanya penganut dan kuil itu diwakili oleh badan pengurusan yang diketuai oleh K Chellappa, satu daripada tujuh responden yang dinamakan dalam permohonan injunksi.

Wong menambah yang peguam negara “tidak mempunyai kuasa” berhubung hal tanah, memandangkan perolehan tanah terletak di bawah kuasa negeri Selangor.

Mengenai hak adat agama Hindu, Wong berkata: “Tiada bukti adat Hindu mempunyai kuasa undang-undang dalam kes ini.”

Kes itu berpunca daripada penyelesaian mahkamah pada 2014 antara pemaju, kerajaan Selangor dan dua wakil pengurusan kuil.

Sebuah kumpulan bersetuju dengan penyelesaian dicapai bersama untuk memindahkan kuil itu, dan sebuah lagi kumpulan enggan, menyebabkan berlaku rusuhan di kuil itu pada November lepas selama dua malam menyebabkan kematian seorang anggota bomba yang kini sedang disiasat.

– https://www.themalaysianinsight.com

.