PAS SAHKAN SUARA NIK ABDUH DALAM RAKAMAN “ANA TAHU”

PAS mengesahkan Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz adalah suara dalam rakaman audio yang mengatakan parti Islam itu menerima dana dari Umno, yang tersebar sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu, lapor media.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengakui suara itu adalah suara Nik Mohamad Abduh tetapi berkata konteks audio yang tersebar itu bukanlah seperti dihebohkan.

“Nik Abduh akui suara dan audio (milik) dia, tapi tidak membawa konteks maksud yang sebenar. Disebut PAS terima duit Umno bukan itu maksudnya… banyak lagi huraian.

“Bila kita mendengar audio itu, kita kena dengar keseluruhan apa maksud kenyataan itu, bukannya ambil separuh kerana kalau separuh memang ada benda tidak kena,” kata Takiyuddin, seperti dipetik BH Online.

Rakaman audio itu berbangkit semula selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan di luar mahkamah kes samannya terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, awal bulan ini.

Selepas laporan media kes saman itu selesai di luar mahkamah, ada individu tampil membuat pengakuan melalui Facebook beliau adalah saksi hidup yang mendengar dan menyaksikan sendiri Nik Mohamad Abduh membuat kenyataan dalam rakaman audio tersebut.

Pada April tahun lalu, Nik Mohamad Abduh menafikan suara dalam rakaman itu suaranya sebaliknya menyifatkan penyebarannya sebagai usaha mencemar nama baiknya menjelang pilihan raya.

Nik Mohamad Abduh adalah antara individu yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu untuk diambil keterangan berhubung siasatan dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 yang dikatakan ada kaitan dengan syarikat terbelit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

– https://www.themalaysianinsight.com

.