MAJLIS TINDAKAN EKONOMI DITUBUHKAN BUKAN SEBAB KABINET GAGAL, KATA MENTERI

PENUBUHAN Majlis Tindakan Ekonomi bukan mesej tersirat Dr Mahathir Mohamad tidak puas hati dengan prestasi jemaah menteri lantikannya, kata dua menteri Kabinet.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali senada berkata tokoh wartawan A Kadir Jasin tidak sepatutnya membuat rumusan majlis itu dibentuk kerana Kabinet gagal menangani isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata idea penubuhan majlis itu dikemukakan olehnya sendiri dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui Dr Mahathir.

“Kawan saya (Kadir), dia tidak boleh buat macam itu. Ini kombinasi, siapa ahli-ahli mereka untuk membantu mengukuhkan ekonomi negara.

“Ini cadangan yang saya bawa dalam Majlis Presiden PH. Saya tahu apa berlaku di bawah jadi saya cadangkan penubuhan itu. Tun Mahathir terima. Semalam (Isnin) senarai anggota diumumkan,” kata Muhyiddin ketika ditemui selepas lawatannya ke Batalion 4 Pasukan Gerakan Am di Semenyih, hari ini.

Selepas mesyuarat Majlis Presiden PH pada 1 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan menubuhkan sebuah badan yang akan berperanan sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang pernah beroperasi ketika krisis ekonomi Asia pada 1998.

“Kalau nak mengatakan ia kelemahan PH, ia tidak benar. Ini inisiatif yang bukan kali pertama. Input pelbagai pihak (diperlukan) untuk kita melihat semua sektor,” kata Muhyiddin.

Kadir dalam satu tulisan di blognya awal hari ini mengupas apa yang beliau sifatkan sebagai “maksud tersirat” perdana menteri menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi bagi menangani isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

Majlis itu dianggotai menteri Kabinet serta beberapa pakar ekonomi termasuk bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz dan bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, yang kini pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sementara itu, Azmin yang menganggotai majlis turut menyangkal pandangan Kadir.

Katanya, majlis itu terdiri daripada individu yang mempunyai kepakaran dan kemahiran masing-masing serta reputasi yang baik dalam masyarakat, di mana pandangan mereka diperlukan untuk memberi input yang berguna kepada kerajaan.

“Sudah tentu, input mereka amat penting untuk kita perhalusi dan kita akan membuat keputusan secara bersama kerana tindakan yang akan diambil itu akan memberi kesan positif kepada rakyat,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Azmin berkata majlis itu akan mencari penyelesaian terutamanya masalah sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

”Majlis ini akan melihat apakah pendekatan segera dan jangka sederhana untuk menangani masalah ini,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.