BEREBUT NAK JADI CALON SUKARKAN LAGI BERSATU DI SEMENYIH…..

Menjelang seminggu lagi sebelum hari penamaan calon PRK Semenyih pada 16 Februari depan, suasana di kawasan itu ketika ini mula sibuk dikunjungi oleh mereka yang bergelar pemimpin.

Yang paling menonjol kerap berkunjung ke Semenyih tentunya ialah pemimpin-pemimpin daripada Bersatu.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana wakil Bersatu akan bertanding dalam PRK itu bagi mewakili PH.

Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, Redzuan Mohd Yusof atau Pak Wan dan Syed Saddiq Syed  Abdul Rahman adalah pemimpin utama Bersatu yang telah berkunjung ke Semenyih setakat ini.

Semua kehadiran mereka itu tidak lain ialah untuk memastikan wakil Bersatu yang dipilih sebagai calon nanti mampu mengekalkan kemenangan PH di kerusi tersebut.

Untuk itu, beberapa program bertemu pengundi dan menubuhkan bilik gerakan di kawasan peti undi sudah mula digerakkan.

Di atas kertas, walaupun PH menang dengan majoriti 8,964 pada PRU14 lalu melalui pertandingan empat penjuru dengan undi dikumpul berjumlah 23,428, tetapi disebabkan UMNO dan Pas sekarang ini sudah saling bekerjasama, angka itu bukan lagi suatu kelebihan buat mereka.

Jika undi Pas berjumlah 6,966 yang diraih pada pilihanraya lalu dicampurkan dengan undi BN sebanyak 14,464, bermakna majoriti PH sudah jadi mengecil kepada angka tidak sampai 2,000 undi.

Undi PSM berjumlah 1,293 yang diperolehi pada pilihanraya lalu turut menjadi penentu kali ini, lebih-lebih jika benar calon Melayu berfahaman sosialis bakal diletak menggantikan S Arutchelvan.

Berlawan dalam suatu pilihanraya kecil dengan hanya kelebihan tidak melebihi 2,000 undi, ditambah dengan pelbagai isu yang tidak selesai yang menyebabkan kian bertambah mereka yang hilang keyakinan kepada kerajaan, ia bukanlah suatu tugas yang mudah bagi PH.

Sebaliknya, bersama berlambak-lambak isu itu, terbaru berkaitan kelulusan akademik beberapa pemimpin Bersatu yang dipertikaikan umum, pentas-pentas ceramah UMNO dan Pas tentu saja mampu mengundang kehadiran penonton yang lebih ramai berbanding PH.

Dari segi isu dan kedudukan pentadbiran kerajaan yang lemah, kucar-kacir serta tidak menentu, PH boleh dikata tidak boleh bergantung sama sekali dengannya untuk dipersembahkan kepada pengundi.

Kedua-dua aspek ini sedang menyebelahi pembangkang atau BN dan satu-satunya perkara yang mungkin boleh menyelamatkan PH ialah jika calon daripada Bersatu yang dipilih nanti benar-benar merupakan pilihan yang terbaik dan  diterima ramai.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah mereka yang melobi sebagai calon Bersatu juga boleh dikata ramai jumlahnya.

Hal ini tentu saja, salah satu sebabnya ialah disebabkan Bersatu sudah menjadi kerajaan bersama PH ketika ini.

Jika dulu ada yang sedia memberi laluan asal saja calon yang dipilih itu mampu mencipta kemenangan, kini berebut-rebut pula mereka yang mahu ke depan menonjolkan diri sendiri dan mengenepikan orang lain.

Difahamkan, sekurang-kurangnya ada enam individu daripada Bersatu sedang melobi untuk menjadi calon PH pada waktu ini.

Ada yang melobi melalui Presiden, Timbalan Presiden, tidak terkecuali ada yang turut meminta pertolongan daripada pemimpin-pemimpin atasan yang berjawatan menteri atau orang tertentu yang rapat dengan Tun Mahathir dan Muhyiddin.

Walaupun nama calon hanya akan diumumkan pada 14 Februari nanti, tetapi dengan semakin ramai yang melobi ini, Bersatu ini sangat terdedah kepada kemungkinan tersalah pilih calon, sebaliknya tidak mustahil yang terpilih nanti hanya kerana kuat serta rajinnya melobi semata-mata.

Selain itu, hal ini juga mendedahkan kepada kebarangkalian berlakunya sabotaj dalaman daripada lima kumpulan atau penyokong calon yang tak terpilih itu.

Bersama semakin kuat seruan agar PH tidak dimenangkan di Semenyih ini dengan tujuan menuntut kerajaan agar segera menunaikan janji-janjinya, menyedarkan para pemimpinnya daripada mimpi keseronokan memegang jawatan, mengurangkan kesombongan, sambil menambah kemesraan terhadap rakyat, laluan mengekalkan kemenangan ternampak masih berliku buat Bersatu.

Yang lebih sukar, termasuk daripada penyokong PH sendiri, BN juga sedang dibantu oleh mood dan doa rakyat di seluruh negara yang secara majoritinya lebih mahukan PH  dikalahkan berbanding dihadiahkan kemenangan.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.