SETIA KEPADA NEGARA, BUKAN AHLI POLITIK ATAU PARTI, KATA PM

ANGGOTA pentadbiran awam diingatkan agar tidak taksub dengan pemimpin atau parti politik sehingga lupa tugas untuk negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan pada sesi perjumpaan bulanan di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir turut mengingatkan penjawat awam agar berkhidmat dengan penuh tanggungjawab kepada kerajaan Pakatan Harapan walaupun mereka sebelum ini pernah bekerja untuk bekas kerajaan Barisan Nasional.

“Jika seorang pemimpin dan parti berusaha untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi, kita perlu setia kepada mereka. Namun jika seorang pemimpin dan parti tidak lagi berkhidmat untuk negara, dan dia menghabiskan masa untuk perkara lain, kita tidak perlu lagi setia kepada mereka dan perlu menjadikan negara sebagai keutamaan.

“Sebagai penjawat awam, kita tidak boleh taksub dengan pemimpin sehingga kita lupa tanggungjawab kepada negara. Kita tidak boleh mengabaikan negara.”

“Kesetiaan kita kepada pemimpin tidak boleh lebih utama daripada kesetiaan kita kepada negara,” kata Dr Mahathir, mengulangi mesej yang disampaikan kepada penjawat awam sejak peralihan kerajaan pada Mei tahun lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan menamatkan pemerintahan BN selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun lalu.

Selepas dua bulan mengambil alih, Dr Mahathir mengkritik pentadbiran terdahulu yang diketuai bekas perdana menteri Najib Razak, telah merosakkan pentadbiran awam.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sesi perjumpaan bulanan bersama penjawat awam di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Februari, 2019.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sesi perjumpaan bulanan bersama penjawat awam di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Februari, 2019.

Dr Mahathir juga berkata bahawa kalangan penjawat awam yang setia kepada Najib cuba mensabotaj kerajaan Pakatan.

Sementara itu, dalam ucapannya hari ini, Dr Mahathir turut mengingatkan pegawai kerajaan yang masih setia kepada pemimpin dan parti kerajaan BN.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah kita. Rakyat pilih kerajaan yang lain setelah satu parti memerintah 61 tahun. Waluapun kita telah selesa dengan parti itu tapi tiba-tiba kita terpaksa bekerja dengan parti yang dulunya dikenali sebagai musuh nombor satu kerajaan,” katanya.

Disebabkan itu, Dr Mahathir berkata kesetiaan seorang penjawa awam terhadap mana-mana ahli politik perlu bersifat sementara dan tertakluk kepada khidmat individu tersebut kepada negara dan berdasarkan mandat demokratik parti.

“Kita beri kesetiaan yang sementara kepada pemimpin. Kalau dia berkhidmat untuk negara, kita setia kepada dia. Kalau kita setia pada parti dan parti tersebut ditukar dan kerajaan ditukar, kita patut beri kesetiaan kita pada kerajaan yang baru.

“Tetapi kesetiaan kepada negara mesti lebih utama daripada pemimpin. Kalau dia berkhidmat utk negara degan baik, kita terus setia pada dia. Tapi bila ada penyelewengan kesetiaan kita patut lebih utama kepada negara.”

– https://www.themalaysianinsight.com/

.