PANDANGAN DR MAHATHIR TERHADAP BEIJING SUKAR DIFAHAMI

PENGANALISIS tempatan hubungan China-Malaysia masih cuba mengkaji bagaimana Putrajaya, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk kali kedua, melihat Beijing selepas membatalkan projek mahal di bawah inisiatif One Belt, One Road.

Walaupun hubungan dua hala dibentuk pada 1974 dan kekal baik di bawah 22 tahun pertama pentadbiran Dr Mahathir sebagai perdana menteri, negarawan berusia 93 tahun itu pernah mengkritik jumlah besar yang dilaburkan Putrajaya dalam projek di bawah Najib Razak, yang menyebabkan hutang negara mencecah RM1 trilion.

Selepas pilihan raya 9 Mei, 2018 kerajaan baharu di bawah Dr Mahathir mengumumkan ia akan membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), selain saluran paip gas di Sabah dan Melaka, memetik ia kerana kos mahal melampau, perjanjian “berat sebelah” dan proses bidaan yang kabur”.

ECRL pada masa ini sedang dirundingkan semula.

Di bawah inisiatif dibawa oleh Presiden Xi Jinping, Malaysia menjadi negara penting di Asia Tenggara untuk kepentingan geografinya sebagai sebahagian daripada “Laluan Sutera maritim dan ekonomi” abad ke-21 dilancarkan pada 2013 yang dipanggil sebagai inisiatif “One Belt, One Road”.

Bagaimanapun, retorik Dr Mahathir terhadap China sejak memegang kuasa semula tidak sepadan dengan pemahaman China sendiri terhadap negaranya sebagai kuasa besar moden memasuki peringkat pembangunan baharu.

Naib Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China Joseph Lim memberitahu The Malaysian Insight bahawa pandangan Dr Mahathir terhadap China nampaknya tersekat pada 1990-an, melihat kepada terma “penjajahan” yang digunakan oleh perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkunjung ke China pada Ogos tahun lalu, di mana beliau bercakap tentang penentangan terhadap “penjajahan baharu” dan mendesak supaya amalan perdagangan adil dilaksanakan.

“Ketika Dr Mahathir bertemu Perdana Menteri China Li Keqiang, Li bertanya kepadanya adakah beliau menolak pembangunan dibawa oleh One Belt One Road, tetapi Dr Mahathir menjawab beliau tidak mahu ‘penjajahan baharu’.

“Saya fikir agak aneh bila Dr Mahathir kata begitu. Ia mungkin tidak memberi apa-apa maksud, tetapi ia boleh disalah anggap,” kata Lim.

Anggota Pusat Penyelidikan Anbound (Malaysia) Fung Vun Ket berkata lawatan Dr Mahathir ke Geely Automobile City di Hangzhou, di mana beliau memuji standard pembuatan Geely yang tinggi, menunjukkan tanggapan perdana menteri terhadap China tersekat pada 1990-an.

Bagaimanapun, katanya syak wasangka itu mungkin kerana kurang pemahaman tentang inisiatif One Belt, One Road termasuk alasan dan matlamat China untuk projek itu dan bagaimana ia sepatutnya memberi manfaat kepada negara lain.

Tanggapan itu sekarang, lima tahun selepas Xi melancarkan inisiatif itu, ialah dominan budaya dan ekonomi China menjejaskan populasi tempatan di mana projeknya berada. Projek di bawah One Belt, One Road disifatkan sebagai “perangkap hutang” oleh media Barat susulan penyerahan Pelabuhan Hambantota di Sri Lanka kepada Beijing selepas gagal melangsaikan hutang.

Pandangan sama berlaku di Malaysia, di mana retorik politik nasionalistik membawa pandangan bahawa negara ini menjadi koloni China akibat daripada pelaburan ekonominya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.