ADA PASUKAN MAHU BOIKOT MESYUARAT PEMUDA PKR, KATA SUMBER

PEMILIHAN PKR sudah berakhir beberapa bulan namun kumpulan dalam sayap Pemuda PKR masih bertelagah untuk merebut pengaruh dalam pergerakan itu.

Ia difahamkan rentetan daripada pertembungan dua kem yang masing setia kepada Azmin Ali dan Rafizi Ramli dalam pemilihan parti tersebut tahun lalu.

Sayap Pemuda itu kini dipimpin Akmal Nasir dari kem Rafizi. Akmal menewaskan Dr Afif Bahardin dari kem Azmin dalam pemilihan itu.

Jawatan utama lain dalam pergerakan itu pula dimenangi pemimpin yang menyokong Afif.

Sumber menyebut, penyokong Afif masih lagi tidak menerima hakikat kekalahan calon mereka dan cuba meluaskan pengaruh ke negeri-negeri dengan membentuk jawatankuasa alternatif.

Difahamkan, ia dirancang untuk memulaukan mesyuarat Pemuda PKR negeri.

Pasukan ini juga difahamkan tidak mengiktiraf pimpinan negeri yang dilantik Akmal dan mahu mengumumkan ketua Pemuda PKR penyelaras alternatif dalam masa terdekat.

Satu perbincangan melalui Whatsapp melibatkan Pemuda PKR Johor yang dilihat The Malaysian Insight didakwa menunjukkan penyokong Azmin berusaha menubuhkan jawatankuasa alternatif untuk exco Pemuda negeri.

Mengulas perkara itu Ketua Pemuda PKR Johor Yuneswaran Ramaraj mengesahkan bahawa perbualan seperti itu sememangnya berlaku.

Aplikasi Whatsapp jadi medan perbincangan ahli-ahli AMK berbincang mengenai strategi politik berhubung kumpulan-kumpulan yang disokong dalam sayap pemuda PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2019.
Aplikasi Whatsapp jadi medan perbincangan ahli-ahli AMK berbincang mengenai strategi politik berhubung kumpulan-kumpulan yang disokong dalam sayap pemuda PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2019.

Bagaimanapun beliau berkata perbezaan di antara kem tersebut sepatutnya sudah berlalu dan setiap ahli parti perlu bekerjasama.

“Mereka sepatutnya move on dan terima Akmal telah dipilih akar umbi. Saya turut persoal tujuan mereka mahu menubuhkan penyelaras Pemuda PKR.

“Adakah untuk pembangunan anak muda atau kepentingan peribadi?

“Saya alu-alukan mereka hendak buat aktiviti tetapi perlulah dengan matlamat yang betul. Kita sudah jadi parti pemerintah dan ikutlah pilihan akar umbi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam pada itu satu sumber Pemuda PKR Pulau Pinang menyebut, terdapat kalangan penyokong Afif yang enggan memberi kerjasama.

Mereka juga tidak dapat memastikan sekiranya pemimpin berkenaan benar-benar akan memboikot mesyuarat Pemuda PKR negeri.

“Mesyuarat Pemuda PKR negeri akan berlangsung 15 Februari ini. Setakat ini saya tidak nampak lagi tanda-tanda boikot.

“Namun ada juga yang masih belum terima hakikat lebih-lebih lagi apabila penyokong Afif tidak dilantik dalam pimpinan negeri.

“Tapi kita tahu yang mereka henda buat pasukan baharu, penyelaras Pemuda PKR,” kata sumber dari kem reformasi itu.

Dalam pada itu, satu lagi sumber mengakui bahawa keadaan ini berlarutan kerana pemimpin yang setia kepada Afif masih lagi tidak dapat menerima kekalahan.

“Mereka nak tunjuk protes dan masih tak boleh terima kekalahan Afif,” kata sumber yang menyebut aktiviti kumpulan alternatif ini dapat dikesan di media sosial

Di Kelantan pula, ketua Pemuda PKR negeri itu Muhd Hafiz Muhd Kasasi berkata apa-apa pemulauan tidak akan memberi kesan selagi semua ketua negeri yang dilantik komited menjalankan tugas.

“Kami, ketua Pemuda PKR Negeri yang dilantik oleh YB Akmal akan teruskan buat kerja seperti biasa tanpa melayan apa-apa agenda lain.

“Sebab bagi kami pemilihan sudah selesai dan rakyat senantisa memerhati setiap apa jua yang berlaku,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.