SKANDAL RM90 JUTA: AZMIN PERCAYA SPRM AKAN DAPAT BUKTI KUKUH

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci berhubung skandal RM90 juta yang dikaitkan dengan parti PAS.

Beliau juga percaya badan itu mampu mendapatkan bukti kukuh untuk melengkapkan siasatan.

“Saya kira perkara ini dalam siasatan SPRM dan kita serahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Sudah tentu SPRM akan ambil kira semua aspek dalam siasatan ini termasuk mendapatkan bukti-bukti daripada luar negara dan pihak yang bersedia tampil untuk memberikan keterangan,” katanya yang juga menteri hal ehwal ekonomi ketika mengulas mengenai pimpinan PAS yang sedang disiasat SPRM mengenai penerimaan wang RM90 juta yang dilaporkan Sarawak Report.

Hari ini, sembilan pemimpin PAS menjadi fokus siasatan SPRM berkaitan kes wang RM90 juta diterima pemimpin parti Islam itu didakwa disalurkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui Umno.

Sumber berkata, meskipun tiada bukti transaksi antara akaun bank rasmi Umno ke PAS namun pasukannya menyiasat transaksi perbankan persendirian membabitkan semua sembilan pemimpin ini.

Setakat semalam, SPRM sudah merakam keterangan AJK PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa berhubung siasatan kes berkenaan.

Siasatan itu dimulakan susulan laporan polis oleh orang awam selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik saman ke atas editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Kedua-duanya menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah London pada minggu lalu namun artikel 6 Ogos 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Awal minggu ini, Sarawak Report menyiarkan satu lagi tulisan mendakwa peguam Hadi mengakui Nik Abduh sememangnya menerima wang dari Umno.

– https://www.themalaysianinsight.com

.