KES NAJIB LIBATKAN KEPENTINGAN AWAM, TAK WAJAR DITANGGUH

PERBICARAAN melibatkan Najib Razak yang dinanti-nanti banyak pihak tidak sewajarnya ditangguh kerana ia adalah kes seleweng dana awam, kata beberapa pergerakan masyarakat sivil dan peguam terkemuka.

Menurut mereka, kes itu perlu dipercepatkan bicaranya kerana ia melibatkan kepentingan awam dan penyelewengan jutaan ringgit dalam skandal memalukan negara, dan kini perlu dijawab oleh Najib.

Bekas perdana menteri itu dijadualkan akan dibicarakan bermula Selasa ini kerana menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi, Najib kini sedang cuba menangguhkan bicara untuk tujuh pertuduhan rasuah. Beliau mahukan Mahkamah Rayuan meluluskan permohonan itu sehingga keputusan dibuat berkaitan beberapa bantahan dibangkitkan pasukan peguamnya.

Bagaimanapun, tindakan ini dipersoalkan oleh pergerakan masyarakat sivil yang berkata Najib sepatutnya meneruskan bicara tersebut kerana beliau sudah terlalu lama bebas walaupun dihambat 42 pertuduhan jenayah.

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata walaupun Najib mempunyai hak dijamin undang-undang selaku tertuduh, beliau sudah terlalu lama menikmati kebebasan walaupun pertuduhan ke atasnya melibatkan jenayah berat dan jumlah wang yang banyak.

“Untuk bekas perdana menteri yang pernah memegang jawatan paling tinggi dan berdepan lebih 40 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, beliau sudah terlalu lama bebas,” kata Gabriel kepada The Malaysian Insight.

Barisan Nasional jatuh kerana skandal 1MDB dicetuskan Najib Razak selepas berkuasa sejak Merdeka lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2019.
Barisan Nasional jatuh kerana skandal 1MDB dicetuskan Najib Razak selepas berkuasa sejak Merdeka lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2019.

Pada 4 Julai tahun lepas, Najib didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan SRC International. Sebulan selepas itu, tiga lagi pertuduhan diletakkan ke atasnya.

Jumlah wang terlibat dalam tujuh pertuduhan itu sahaja bernilai RM42 juta.

Gabriel berkata perbicaraan itu sebenarnya sudah tertangguh lama dan ia tidak bagus untuk sistem keadilan awam.

Faridah Ariffin, ahli G25, sebuah kumpulan bekas penjawat awam kanan berkata, kes itu perlu dipercepatkan kerana Najib sudah didakwa tahun lepas lagi.

“Ini adalah kes kepentingan awam. Rakyat Malaysia tidak sabar menunggu untuk perbicaraan ini berlangsung sejak Najib dituduh pertengahan tahun lepas dan rakyat semakin tak sabar.

“Sebarang penangguhan pula jelas sekali pembaziran cukai. Saya harap hakim akan tegas dengan sebarang permohonan mengarut untuk melambatkan perbicaraan,” katanya.

Faridah menambah yang rayuan dilakukan Najib untuk menangguhkan bicaranya adalah satu penghinaan kepada sistem kehakiman negara.

Peguam Syahredzan Johan berkata, walaupun kes Najib Razak melibatkan kepentingan awam, beliau masih ada hak selaku tertuduh dan mahkamah perlu buat keputusan berdasarkan merit kes bukan tunduk kepada tekanan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2019.
Peguam Syahredzan Johan berkata, walaupun kes Najib Razak melibatkan kepentingan awam, beliau masih ada hak selaku tertuduh dan mahkamah perlu buat keputusan berdasarkan merit kes bukan tunduk kepada tekanan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2019.

Peguam Shayredzan Johan pula berkata, daripada sudut pandang undang-undang, peguam Najib mempunyai hak untuk memohon penangguhan yang merupakan hak asas mana-mana tertuduh.

“Pada akhirnya, terpulang kepada mahkamah untuk benarkan atau tidak.

“Najib pernah kata yang mereka mahu perbicaraan dipercepat. Sekarang, rakyat akan tanya mengapa mereka (peguam Najib) mahu tangguh pula.

“Sekarang, bila perbicaraan sudah hendak mula, mereka tak mahu mula pula,” katanya.

Tambahnya, rakyat mahukan kes itu dibicarakan secepat mungkin, tetapi hak tertuduh perlu dipelihara dan keputusan terus atau tangguh bicara sepenuhnya perlu dibuat mahkamah.

“Mahkamah perlu pertimbangkan semua perkara dan buat keputusan. Saya secara peribadinya mahu perbicaraan ini berjalan secepat mungkin.

“Kami tak mahu berlaku situasi apabila mahkamah nampak ada keperluan untuk tangguh bicara, tetapi disebabkan tekanan awam, perbicaraan diarahkan diteruskan.

“Mereka (mahkamah) perlu adil kepada tertuduh, walaupun orang itu adalah Najib,” kata peguam dikenali ramai itu lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.