ISU ‘IJAZAH CAMBRIDGE’ MARZUKI ROSAKKAN IMEJ NEGARA, KATA AWANG SELAMAT

MARZUKI YAHYA wajar meletak jawatan sebagai timbalan menteri luar sekiranya dakwaan beliau memiliki ijazah palsu adalah benar, kata Utusan Malaysia.

Melalui ruangan pojok Bisik-Bisik Awang Selamat, akhbar berkenaan berkata isu memalsukan kelulusan akademik ini bukan sahaja melibatkan setiausaha agung Bersatu itu, malah ia juga merosakkan imej negara.

“Ini kerana ia membabitkan soal maruah dan juga integriti. Isu ini bukan hangat setakat dalam negara ini malahan menjadi tajuk berita oleh media-media asing. Pastinya memalukan kita sebagai rakyat Malaysia!

“Bagi Awang, kalau betul Marzuki menipu, meletak jawatan adalah lebih mulia daripada beliau terus memberikan pelbagai alasan untuk tidak berbuat demikian,” kata lidah pengarang akhbar berkenaan, hari ini.

Isu timbul apabila Marzuki pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England dan kemudiannya menjelaskan ijazah beliau adalah dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).

Marzuki dalam kenyataannya sebelum ini terus mempertahankan kelulusan akademiknya termasuk memuat naik ijazah dan transkrip daripada universiti tersebut.

Jelasnya, beliau menghabiskan tiga tahun untuk menamatkan pengajian jarak jauhnya, sejak 2002 hingga 2005.

– https://www.themalaysianinsight.com

.