KETERANGAN PAKAR PERUBATAN, SAKSI PENTING TENTUKAN PUNCA KEMATIAN ADIB, KATA PEGUAM

PETALING JAYA – Keterangan pakar perubatan, termasuk pakar patologi dan saksi penting kepada koroner untuk membuat keputusan mengenai punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, kata peguam.

S N Nair berkata, koroner dalam kes Adib hanya boleh membuat keputusan sama ada beliau mati secara tidak sengaja, homisid atau membuat keputusan terbuka.

“Membunuh tidak timbul sama sekali kerana Adib mati selepas beliau dimasukkan dan dirawat di hospital,” katanya.

Nair berkata, keterangan doktor dan pakar patologi penting dalam menentukan punca dan hal-keadaan yang membawa kepada kematian Adib, kira-kira 3 minggu selepas berlakunya rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25.

“Tugas koroner untuk membuat keputusan akan menjadi lebih mudah sekiranya terdapat saksi kejadian,” katanya kepada FMT, menjawab pertanyaan tentang inkues tersebut yang dijadualkan Isnin depan di Shah Alam.

Adib, 24, cedera parah semasa insiden keganasan yang berlaku di kawasan kuil terbabit. Beliau merupakan anggota pasukan bertugas dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang diarahkan ke tempat kejadian pada 27 Nov tahun lepas.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember.

Kira-kira 30 saksi, termasuk doktor, disenaraikan untuk memberi keterangan di hadapan koroner, Rofiah Mohamad.

Nair berkata, inkues adalah satu prosiding penyiasatan dengan koroner ditugaskan memeriksa punca kematian dengan bantuan pegawai pelaksana mahkamah dan peguam yang mewakili pihak berkepentingan.

“Tidak ada pemeriksaan-balas saksi kerana tidak ada sesiapa pun yang dibicarakan kerana kesalahan jenayah,” katanya, dengan menambah bahawa undang-undang kesaksian tidak diikuti secara ketat.

Katanya, peguam negara, yang juga merupakan pendakwa raya, akan memutuskan langkah berikutnya bergantung kepada keputusan inkues tersebut.

S N Nair.

“Peguam negara boleh meminta polis menyiasat kes itu lebih lanjut berdasarkan keputusan inkues seperti homisid,” katanya, dengan menambah mereka yang terlibat boleh didakwa atas kesalahan jenayah sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.

Beliau berkata, dalam perjalanan prosiding itu, kemungkinan terlepas pandang dan kecuaian di pihak anggota polis dan bomba yang diarahkan ke tempat kejadian boleh didedahkan sebagai isu sampingan.

Dalam pada itu peguam Salim Bashir berkata, koroner dalam mana-mana inkues dijangka memainkan peranan dominan dalam mencari kebenaran berhubung kejadian.

“Kita menjangka koroner akan bersikap inkuisitif dan bertanya soalan penting kepada saksi dan tidak membiarkannya kepada pegawai pelaksana dan peguam mewakili pihak berkepentingan,” katanya.

Katanya, hanya pihak berkepentingan boleh memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan koroner.

Salim memetik keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan bahawa “orang atau beberapa orang bertanggungjawab” ke atas kematian Teoh Beng Hock, bekas pembantu seorang anggota Exco kerajaan Selangor.

Teoh mati ketika ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Julai 2009, tetapi koroner membuat keputusan terbuka.

Bagaimanapun tidak ada sesiapa didakwa atas kejadian itu.

Keluarga Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam diberi kebenaran untuk mengambil bahagian dalam prosoding sebagai pihak berkepentingan.

Suhakam dibenarkan bertindak sebagai pemerhati dan peguam mereka dibenarkan meminta penjelasan daripada saksi dengan kebenaran koroner.

– FMT

.