DEMI BERSATU DAN TUN MAHATHIR, MARZUKI WAJAR UNDUR DIRI ATAU JIKA ENGGAN, BELIAU WAJIB DIUNDURKAN

Setiausaha Agung Bersatu merangkap Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya akhirnya mengakui beliau tidak memiliki ijazah atau merupakan graduan lepasan Universiti Cambridge, London.

Sebaliknya Ahli Dewan Negara itu menjelaskan, ijazah pentadbiran perniagaan yang dimilikinya adalah daripada Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat.

“Saya fikir mereka salah faham mengenai kelayakan saya,” ujar Marzuki.

Meskipun Marzuki sudah membuat pengakuan, masalah ini belum lagi selesai sebenarnya.

Pertama, kerana Cambridge International Universiti bukanlah universiti yang diiktiraf, bukan saja oleh kerajaan Malaysia, tetapi juga oleh pihak berkuasa pendidikan di Amerika Syarikat sendiri.

Dikatakan juga ia adalah universiti yang bukan saja menawarkan program sehingga ke pengurusan kasino, malah didakwa turut terlibat menjual ijazah palsu yang pembayarannya boleh dibuat melalui talian atau PayPal.

Bagaimanapun tidaklah dipastikan sama ada Marzuki benar-benar mengikuti pengajian jarak jauhnya dengan universiti berkenaan atau terlibat dalam pembelian sijil palsu, kecualilah jika beliau dapat menunjukkan tesis pengajiannya dalam waktu terdekat ini.

Kedua,  mengapakah baru sekarang Marzuki mahu mengakui ijazah yang diambilnya bukan daripada Universiti Cambridge di UK, sebaliknya daripada Cambridge International Universiti di AS?

Kenapa daripada dulu lagi, iaitu sejak isu ini mula-mula timbul, beliau tidak mahu berterus terang?

Kenapa sebelum ini beliau menyebut kelulusannya adalah daripada Universiti Cambridge saja?

Bukankah itu mengelirukan orangramai?

Dalam hidup ini atau dalam kerjaya politik, berijazah atau tidak bukanlah syarat wajib untuk berjaya dan dipandang tinggi. Banyak faktor lain yang boleh menjana kejayaan seseorang.

Di peringkat dunia, Abraham Lincoln, Bill Gates dan Mark Zurkenberg adalah antara individu terkenal dan berjaya, meskipun tidak memiliki ijazah.

Di dalam negara, Tun Ghafar Baba, Lim Goh Tong dan Syed Mokhtar Al-Bukhari adalah juga mereka yang tidak memiliki ijazah, namun kejayaan dan kecemerlangannya sentiasa dikagumi.

Tun Ghafar bukan saja berjaya sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri, malah banyak kali berjaya menjadi perunding dalam menyelesaikan  krisis antara kerajaan dengan Raja-Raja serta menoktahkan kemelut politik dalam MCA.

Lim Goh Tong pula dikatakan seorang yang tidak tahu menulis serta membaca dan hanya tahu menandatangani buku cek saja.

Kejayaan mereka ini amat membanggakan, malah jauh meninggalkan tokoh-tokoh lain yang ada ijazah berjela-jela.

Tetapi, ini bukanlah bermakna ijazah atau kelulusan tinggi itu tidak penting. Setiap orang mempunyai nasib, latarbelakang keluarga dan kepayahan yang berbeza-beza, tetapi apa yang Tuhan janjikan persamaan ialah sesiapa juga yang berusaha dan bekerja keras, pasti kejayaan akan jadi milik mereka.

Yang penting, berlaku jujurlah dalam kehidupan dan jangan sesekali cuba menipu. Abraham Lincoln, Bill Gates, Mark Zurkenberg, Ghafar Baba, Syed Mokhtar dan Lim Goh Tong adalah mereka yang sentiasa jujur dan tidak pernah menipu kelulusan akademiknya.

Dalam kes Marzuki, jika beliau berlaku jujur dan berterus-terang sejak awal-awal lagi, masalah seperti yang dihadapinya sekarang ini tidak akan membahang seperti sekarang.

Kini, semua orang curiga, memandang semacam dan menuding jari kepadanya hanya kerana sikapnya yang tidak berterus-terang sejak awal itu.

Ia bukanlah kerana sama ada beliau ada ijazah atau tidak, tetapi lebih berkaitan sikap jujurnya terhadap masyarakat.

Jujur, amanah dan tidak menipu adalah ciri penting dalam kehidupan manusia, tidak kira siapa dan di mana juga seseorang itu berada.

Lebih-lebih lagi dengan kedudukannya yang tinggi sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan Timbalan Menteri Luar Negeri, bagaimanakah beliau selepas ini mahu berhadapan dengan rakyat  ketika mewakili Bersatu yang merupakan tunjang kerajaan dan apabila bertemu pemimpin-pemimpin luar negara?

Bagaimanakah pula Bersatu mahu bercakap mengenai intergriti, sikap beramanah, kejujuran dan perangai tidak menipu dalam isu-isu penting di tengah-tengah masyarakat atau ketika kempen di Semenyih nanti?

Lebih memudaratkan lagi, bagaimanakah Tun Mahathir Mohamad yang melantik Marzuki dengan jawatan penting dalam parti dan kerajaan, mahu berhadapan dengan masyarakat dalam negara dan juga dunia?

Tidak kasihankan Marzuki kepada Tun Mahathir yang sudah mencecah usia 94 tahun?

Berkaitan hal ini, jika Marzuki ada rasa kasihan kepada Tun Mahathir dan mahu melihat Bersatu terus maju, beliau sebenarnya tiada pilihan selain wajib berundur dan meletakkan jawatan dengan segera daripada parti dan kerajaan.

Selagi beliau yang dipertikaikan itu ada di situ, parti dan kerajaan, tidak akan mampu bergerak ke hadapan.

Bagaimana jika Marzuki enggan berundur dan meletakkan jawatan?

Juga tiada pilihan, parti dan kerajaan harus bertegas melucutkan jawatannya, jika tidak, apa jua yang diusahakan oleh Tun Mahathir dan Bersatu tidak akan dipercayai lagi, melainkan menjadi “lauk” kepada pihak pembangkang dan dipandang sebelah mata oleh rakyat jelata seluruhnya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.