JANGAN PANDANG REMEH ISU IJAZAH PALSU, KATA KIAN MING

KONTROVERSI “ijazah palsu” yang memalit Timbalan Menteri Luar Negeri Marzuki Yahya masih panas dengan DAP berkata Pakatan Harapan (PH) harus menetapkan piawaian yang tinggi dalam ketelusan dan akauntabiliti awam.

Marzuki mendakwa beliau mempunyai ijazah dari Universiti Cambridge di United Kingdom melalui pengajian jarak jauh, sedangkan universiti itu berkata ia tidak pernah menawarkan program berkenaan.

“Di bawah Malaysia Baharu, isu seperti ini tidak sepatutnya dipandang remeh, seperti mana di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Ong dalam satu kenyataan.

“Kita perlu menetapkan piawaian yang tinggi dalam ketelusan dan akauntabiliti awam. Kalau tidak, kita akan dilihat tiada bezanya dengan kerajaan BN.”

Apa pun pilihan yang bakal diambil Marzuki – sama ada meletak jawatan atau hadapi sahaja kontroversi ini – yang paling penting ketika ini, adakah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih lagi mempercayai timbalan menteri itu untuk terus berkhidmat dalam kerajaannya, kata Ong.

Ahli Parlimen Bangi itu juga berkata untuk menjadi seseorang itu tidak memerlukan segulung ijazah untuk menjadi menteri yang bagus.

Sebaliknya, dia perlu bekerja keras, turun padang dan membina satu pasukan yang bagus untuk lebih memahami tugas dan tanggungjawabnya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.