KHALID JELASKAN ‘PUSINGAN U’ PH TERHADAP AES

PETALING JAYA – Pemimpin Amanah, Khalid Samad menjelaskan mengapa ahli politik seperti dirinya dan rakan separti, Mahfuz Omar kini mempunyai pandangan berbeza mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Bercakap di satu sesi debat malam tadi, Khalid berkata bekas pembangkang seperti dirinya membantah AES kerana ia diswastakan.

“Bila dikatakan diswastakan, maksudnya kutipan saman itu pergi kepada syarikat swasta. Saman yang dikutip itu bayaranya tidak pergi kepada kerajaan, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sekarang ini bawah Pakatan Harapan, kita dah ubah perkara itu. Saman ini tak lagi pergi kepada syarikat swasta, semua saman yang dikutip dan akan dikutip akan pergi keapda pihak JPJ dan kerajaan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam.

Tahun lepas, Putrajaya berkata 2 syarikat yang mengendalikan AES – Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd – dari mula ia diperkenalkan pada 2012 hingga Mei 2018, menghasilkan RM129 juta daripada saman trafik.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata skim itu diambil sepenuhnya oleh JPJ bermula 1 September 2018 selepas kerajaan membuat keputusan untuk tidak membaharui kontrak Ates dan Beta Tegap.

Baru-baru ini, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak persoalkan mengapa pendirian Mahfuz terhadap AES sekarang sudah berubah.

Sementara itu, Khalid berkata jumlah saman RM300 sekarang ini untuk pelaku kesalahan kali pertama “mungkin terlalu tinggi”.

Khalid secara peribadi merasakan pelaku kesalahan kali pertama wajar dikenakan saman antara RM50 hingga RM100, dengan pelaku kesalahan berulang RM200 dan RM300.

Beliau berkata perkara itu boleh dibahaskan di Parlimen. Beliau juga berkata beberapa lokasi kamera AES perlu dikaji semula.

– FMT

.