NAJIB: KALAU IKUT FITNAH PH, SAYA PEMBUNUH BERSIRI

Dalam ceramah di Langkawi semalam, bekas perdana menteri Najib Razak mengambil kesempatan membidas pihak yang mengaitkannya dengan beberapa kes pembunuhan.

“(Ada orang beritahu saya) bahawa dulu mereka percaya saya bunuh Altantuya (Shaariibuu).

“Kevin Morais, (mereka percaya) saya bunuh, Balasubramaniam, saya bunuh.

“Maksudnya saya pembunuh bersiri, saya bunuh semua orang (jika mengikut dakwaan mereka),” kata Najib.

Tambah Najib, tuduhan berkenaan antara fitnah yang disebarkan Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan BN tumbang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Altantuya merupakan warga Mongolia yang juga bekas kekasih Abdul Razak Baginda, rakan rapat Najib.

Dalam prosiding kes pembunuhan Altantuya baru-baru ini, Burmaa Oyunchimeg yang merupakan sepupu mendiang menegaskan bahawa dia pernah melihat gambar Altantuya, Razak Baginda dan Najib bersama.

Dakwaan Burmaa Oyunchimeg itu bercanggah dengan kenyataan Najib yang menafikan pernah berjumpa Altantuya.

Altantuya dibunuh pada 2006. Balasubramaniam merupakan saksi utama dalam kes pembunuhan itu, namun meninggal dunia akibat sakit jantung pada 2013.

Morais pula merupakan pendakwa timbalan pendakwa raya SPRM yang dikatakan sedang mengusahakan dakwaan 1MDB terhadap Najib.

SPRM sebelum ini menafikan Morais terlibat dalam mendraf dakwaan terhadap Najib.

– M’kini

.