PUBLISITI NAJIB USAHA ALIH PERHATIAN BICARA 12 FEBRUARI, KATA PENGANALISIS

KERANCAKAN Najib Razak dalam media sosial dan kerap tampil di tempat awam sejak kebelakangan ini merupakan usaha bekas perdana menteri itu untuk menaikkan semula popularitinya dan mengalihkan perhatian daripada perbicaraan kes rasuah yang akan bermula pada 12 Febuari ini, kata penganalaisis.

“Untuk kekal relevan dalam lanskap politik tempatan, beliau perlu mengalihkan persepsi umum daripada dilihat sebagai seorang pesalah menjadi seorang wira.

“Ia mampu membantunya jika beliau boleh membuatkan semua orang berfikir bahawa dakwaan yang dikenakan ke atasnya adalah bermotifkan politik,” kata ketua penyelidik Ilham Centre dan pensyarah komunikasi Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Walaupun berdepan tuduhan jenayah melibatkan penggubahan wang haram, rasuah dan salah guna kuasa yang mengundang hukuman penjara bagi tempoh yang lama, Najib dilihat tenang dengan mengadakan forum awam dan berkempen di pilihan raya kecil Cameron Highlands. Beliu kini menjelajah Langkawi.

Satu perbezaan ketara antara kempen publisiti Najib dan sebelum kejatuhannya adalah beliau tidak membawa bersama isterinya, Rosmah Mansor dalam mana-mana kemunculannya.

Malah Najib mencipta slogan “Malu Apa Bossku?” untuk dirinya. Di sesetengah majlis, Najib secara bersahaja memberitahu wartawan bahawa rakyat Malaysia merindui kepimpinannya.

“Sejak pilihan raya, beliau kehilangan banyak sokongan Umno dan kalangan rakyat Malaysia,” kata Yusri.

“Namun beliau bijak mengambil kesempatan atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan semua manifesto pilihan raya untuk menyesuaikan dirinya dengan landskap politik negara,” kata pensyarah Universiti Malaysia Terengganu itu.

Sementara itu penganalisis politik Profesor Bersekutu Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata aktiviti Najib dalam media sosial dan kemunculan di khalayak umum baru-baru ini lebih kepada sebagai usahanya untuk kekal relevan kepada rakyat Malaysia berbanding perbicaraannya yang bakal dihadapi.

“Ia merupakan strategi politik untuk menyerang PH dan membuatkan pakatan nampak teruk ekoran perkembangan semasa disebabkan kegagalan kepimpinan kerajaan baharu terutamanya menteri yang gagal menunaikan janji dan membangkitkan isu relevan seperti kos sara hidup dan mengurangkan harga barang.”

Najib Razak bijak mengambil kesempatan atas kegagalan Pakatan Harapan menunaikan manifesto pilihan raya untuk menyesuaikan dirinya dengan landskap politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2019.
Najib Razak bijak mengambil kesempatan atas kegagalan Pakatan Harapan menunaikan manifesto pilihan raya untuk menyesuaikan dirinya dengan landskap politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2019.

Bekas timbalan ketua Umno Senator Khairul Azwan Harun berkata populariti Najib merupakan petunjuk rakyat semakin kecewa dengan kerajaan baharu.

“Selagi kos sara hidup tidak turun dan segmen masyarakat tidak berubah, rakyat akan terus kecewa terhadap kerajaan, tidak kira siapa pun yang memerintah.

“PH mula menyedari mereka tidak boleh membuat janji dan mengabaikannya. Jika anda memberi harapan terlalu tinggi, kerja yang bagus juga tidak akan mencapai tahap seperti diharapkan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Khoo Kay Peng berkata Najib tahu bagaimana untuk mengambil kesempatan kekecewaan rakyat terhadap ketidakupayaan PH menunaikan janji mereka berhubung isu sara hidup dan isu sosioekonomi.

“Beliau merupakan ahli politik bijak yang mampu memanfaatkan populariti yang diraihkan menerusi media sosial,” kata Khoo.

– https://www.themalaysianinsight.com

.