SOKONGAN PENGUNDI CINA KEPADA PH JUGA MULA MEROSOT?

Sambutan tahun baru Cina pada tahun ini merupakan yang pertama kali disambut di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan atau PH.

Tidak dinafikan oleh kerana pengundi Cina merupakan penyumbang utama kepada jatuhnya kerajaan BN yang berkuasa sejak lebih 61 pada pilihanraya 9 Mei lalu, mereka adalah kelompok yang paling gembira apabila PH berjaya menjadi kerajaan baru.

Bersekali dengan itu, mereka tambah gembira apabila kemudiannya Lim Guan Eng diberikan jawatan Menteri Kewangan, suatu jawatan paling kanan dalam kerajaan selepas Perdana Menteri.

Sebab itu, di peringkat awal dahulu kegembiraan kaum Cina terhadap kejayaan PH ini dapat dirasai di mana-mana.

Namun, menjelang sambutan tahun baru Cina kali ini, tidak sampai sembilan bulan selepas menguasai Putrajaya, suara-suara rungutan daripada kaum itu sudah mula kedengaran, terutama berhubung kelembapan ekonomi, dunia perniagaan yang tidak berkembang serta wujudnya beberapa peraturan berkaitan lesen di peringkat PBT yang menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih.

Bagi peniaga-peniaga kaum Cina, setelah hampir setahun PH mentadbir negara, apa yang menyedihkan mereka ialah iklim ekonomi, perniagaan serta kuasa beli rakyat tetap tidak berkembang.

Ia sekaligus menyebabkan banyak perniagaan terus merosot, malah ada yang terpaksa mengecilkan saiz atau menutup terus kedai yang selama ini sebagai punca pendapatan.

Di peringkat atas, perbankan misalnya, harapan mereka terhadap Guan Eng dalam menyemarakkan iklim ekonomi atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan hampir berkecai kerana pendekatannya yang tidak habis-habis menyalahkan kerajaan lama dilihat langsung tidak membantu ke arah menyemarakkan dunia perniagaan.

Kata mereka, Guan Eng masih terbawa-bawa dengan stail mentadbir negeri apabila menduduki kerusi Menteri Kewangan, sedangkan skop dan pendekatan antara kedua-duanya adalah jauh berbeza.

Bagi segelintir pemimpin DAP, kelembapan dunia perniagaan yang menyebabkan semakin banyak rungutan itu bukanlah tidak membimbangkan mereka.

Terdapat beberapa pemimpin DAP baru-baru ini mengadakan pertemuan serta perbincangan secara tidak rasmi membincangkan perkara tersebut.

Mereka ternyata mula bimbang dengan sokongan pengundi Cina, bukan saja kepada DAP, tetapi juga kepada PH dalam PRU15 akan datang kiranya situasi yang ada ini berterusan lebih lama.

Malah, ada yang tidak ragu-ragu menyatakan perolehan kerusi DAP diramalkan akan jatuh merosot dalam PRU15 akan datang berbanding PRU14 yang lalu.

Kemerosotan sokongan pengundi Cina ini nampaknya menyusuli kajian oleh Ilham Centre bersama Penang Institute baru-baru ini yang mendapati sokongan pengundi Melayu kepada PH telah pun menurun berikutan beberapa isu tidak ditangani dengan sewajarnya.

Apakah PH dan Tun Mahathir Mohamad sedar keadaan ini?

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.