PENGERUSI BARU PKR P PINANG MAHU PULIH SEMULA PARTI

GEORGE TOWN – Pemimpin PKR yang diberi amanah untuk menjaga parti itu di Pulau Pinang, baru-baru ini berkata penyatuan ahli veteran dengan sayap Pemuda dan Wanita akan menjadi agenda utamanya dalam memulih semula parti tersebut.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, yang diamanahkan mengetuai PKR Pulau Pinang selepas Nurul Izzah Anwar mengumumkan beliau meletak jawatan daripada semua jawatan, berkata sudah tiba masanya parti itu meninggalkan kisah lalu dan memberi tumpuan kepada masa depan parti.

“Sudah tiba masanya untuk menenggelamkan suara-suara dan meninggalkan perkara buruk di belakang dan mulakan yang baru,” kata Bakthiar, yang juga timbalan menteri pelancongan, seni dan kebudayaan.

Beliau berkata demikian kepada kepada FMT di luar majlis penyerahan zakat di SK Kongsi di Balik Pulau pada Isnin.

Beliau berkata sebagai parti berbilang kaum dengan lebih 55,000 ahli di Pulau Pinang sahaja, kedudukan PKR di negeri ini adalah baik. Katanya, ia terbukti apabila parti itu menyapu bersih semua 14 kerusi negeri dan 4 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya umum tahun lepas.

Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

 

 

 

 

 

 

 

Bakthiar berkata sebahagian daripada agenda perpaduannya adalah merancang untuk merapatkan ahli lama dengan yang baru, memperbaiki kebajikan mereka dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada parti sejak Reformasi pada 1998.

Katanya, ahli lama layak mendapat “1 atau 2 pingat” manakala ahli baru yang lebih muda perlu dipersiapkan untuk menjadi pemimpin generasi akan datang untuk memperkasakan parti itu.

“Sudah tiba masanya untuk kita berubah dan melakukan tugas kita sebagai ahli parti, untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya juga melihat ahli-ahli muda kita, terutama Wanita, berpotensi besar mengetuai PKR Pulau Pinang, ” katanya.

Bakthiar, yang juga ketua bahagian Balik Pulau, dilantik sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang pada 14 Januari, manakala Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sebagai timbalannya. Sim adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dilantik sebagai naib pengerusi PKR.