BILA SEKSAAN INI AKAN BERAKHIR, SOAL INDIRA GANDHI

SETAHUN selepas keputusan mahkamah yang memberikan hak jagaan kepada M Indira Gandhi terhadap anak yang dilarikan suaminya, ibu berkenaan masih menunggu pihak berkuasa mengesan di mana lokasi anak perempuannya itu.

Kes Indira mendapat perhatian apabila beliau dipisahkan daripada anak bongsunya Prasana Diksa, sembilan tahun lalu dan walaupun mahkamah mengarahkan polis mencari bekas suaminya dan hak jagaan diberikan kepada Indira, tiada sebarang tindakan diambil setakat ini.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight semalam selepas kes mahkamah itu pada 29 Januari tahun lalu, beliau masih belum menerima maklumat daripada polis, apatah lagi bertemu anak perempuannya.

Bekas guru tadika itu kini hilang arah. Beliau hilang pekerjaan selepas tadika tempatnya mengajar di Ipoh, ditutup sejak tiga bulan lalu.

Tetapi perkara itu tidak seteruk cabaran ibu tunggal itu dalam mencari anak bongsunya. Katanya, beliau rasa dikhianati oleh sistem keadilan.

“Saya lakukan semuanya untuk mencari anak saya. Tidak ada perkembangan langsung daripada polis.

“Saya tidak lagi diwakili oleh peguam M. Kulasegaran yang kini sudah jadi menteri. Saya tidak tahu mahu minta pertolongan siapa lagi,” katanya.

Polis diarahkan mencari bekas suami Indira, K. Pathmanathan @ Muhammad Riduan Abdullah, dan anak mereka Prasana yang dilarikan oleh Riduan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata walaupun kenyataan media dan gesaan kepada umum untuk membantu mengesan Riduan dilakukan, pihak berkuasa masih belum dapat mengesannya.  

Wan Ahmad berkata polis mencari Riduan sejak waran tangkap dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 20 Mei, 2014.

Indira berkata beliau tidak larat dan tidak ada sumber kewangan untuk melalui satu lagi pertarungan undang-undang jika mahu mengambil tindakan terhadap polis.

“Jika saya mahu ambil tindakan terhadap polis, ia akan jadi satu lagi masalah besar kepada saya.

“Saya tidak mampu bayar untuk mendapatkan khidmat peguam sekarang.

“Saya tidak tahu kenapa Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun senyap sangat tentang perkara ini.”

Indira, 44, berkata beliau hanya mahu bertemu semula dengan anaknya.

“Bila seksaan ini akan berakhir? Mahkamah sudah pun beri keputusan. Apa lagi yang boleh saya buat?,” katanya.

Tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan sebulat suara bahawa penukaran agama kepada Islam tiga anak Indira oleh Riduan, terbatal.

Mahkamah juga memutuskan pertukaran agama terhadap kanak-kanak bawah umur memerlukan kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa.

Indira membawa kes itu ke mahkamah selepas Riduan mengambil Prasana selepas menukarkan agama anak-anak mereka kepada Islam, secara sebelah pihak pada 2009.

Prasana baru berusia 11 bulan ketika itu. Indira ada seorang lagi anak perempuan dan lelaki yang kini masing-masing berusia 21, dan 20. Kedua-duanya tinggal bersama Indira.

“Sekarang saya mengajar kelas tuisyen secara separuh masa dan ada ahli keluarga yang membantu.

“Saya masih mencari pekerjaan kerana perlu menampung dua anak yang masih bersekolah,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.