LAPORAN PAS TERIMA RM90 JUTA DARI UMNO KEKAL

CLARE Rewcastle-Brown hari ini lega dan gembira apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam menawarkan untuk menyelesaikan saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report itu.

Rewcastle-Brown berkata beliau sangat gembira dengan syarat penyelesaian yang tidak didedahkan dengan “artikel yang menyinggung” itu masih berada dalam talian dan tidak diubah.

“Saya tidak akan tarik balik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya ucapkan terima kasih atas sokongan orang ramai yang membantu saya melawan cubaan untuk ‘mendiamkan’ laporan saya.

“Artikel masih ada disiarkan dalam talian dan tidak diubah, walaupun saya bersetuju untuk tidak membincangkan syarat-syarat penyelesaian,” katanya berkenaan artikel yang bertajuk “As Najib denies all over 1MDB, let’s not forget his many other criminal connections” yang disiarkan pada 6 Ogos, 2016.

Hadi membuat keputusan untuk memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah melalui perintah persetujuan bertarikh 1 Februari di mahkamah tinggi London, kata setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman, dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi juga bersetuju untuk menarik balik tuntutannya terhadap Rewcastle-Brown kerana defendan dikatakan telah menarik balik tuntutan balasnya. Tiada perintah dibuat untuk kos.

Hadi menyaman Rewcastle-Brown berhubung artikel Sarawak Report yang bertajuk “As Najib denies all over 1MDB, let’s not forget his many other criminal connections” yang disiarkan pada 6 Ogos, 2016.

Artikel Sarawak Report itu menyebut bekas perdana menteri Najib Razak menyalurkan RM90 juta kepada Hadi dan parti Islam itu untuk menarik sokongan mereka dari pakatan pembangkang  – Pakatan Rakyat – yang ketika itu secara rasminya berpecah.

– https://www.themalaysianinsight.com

.