MELAYU KAYA PERLU BERHENTI ‘MAKAN ATAS ANGIN’, KATA MAJLIS EKONOMI

KUALA LUMPUR – Segelintir orang Melayu berpendapatan tinggi perlu berhenti “makan atas angin” supaya bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan Bumiputera yang memerlukan, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Presiden Abdul Yazid Othman berkata, golongan Melayu kaya mempunyai kelebihan berbanding golongan lain, dan tidak memerlukan sebarang bantuan atau insentif daripada kerajaan kerana mampu menjalani kehidupan selesa.

“Kriteria penerima bantuan telah ditetapkan tetapi kita tidak tahu berapa banyak dan siapakah yang sebenarnya menerima manfaat memiliki rumah mampu milik misalnya.

“Kebanyakan Melayu makan dengan betul tetapi ada juga yang makan atas angin, mereka mempunyai kelebihan sehingga mengaut keuntungan dan ini tidak boleh diterima masyarakat,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini juga, timbul idea membina Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) untuk anak orang kaya sehingga menjadi perdebatan pelbagai pihak, sedangkan sekolah berasrama itu mengutamakan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar.

“Apa yang peliknya, ada juga orang kaya yang mahu anaknya belajar di MRSM sedangkan sudah jelas kuota pendidikan disediakan kepada golongan yang memerlukan,” kata Yazid.

Setakat ini, rancangan kerajaan Barisan Nasional dan disambung oleh Pakatan Harapan bagi membantu golongan Bumiputera dilihat belum cukup efektif.

“Kalau dilihat secara kasar pun orang Melayu masih ramai yang ketinggalan, kebanyakan berada di kelas bawah dan pertengahan.

“Kaedah dan strategi bantuan sudah ada tetapi adakah pelaksanaannya berkesan? Akhirnya berapa kerat sahaja yang terima bantuan,” katanya.

Yazid juga menganggap kebanyakan orang Melayu kaya masih tidak berubah kerana terlalu bergantung kepada kontrak dari syarikat berkaitan kerajaan sehingga mewujudkan ketidakseimbangan dalam masyarakat.

– FMT

.